Kawasan pembangunan pelabuhan, Maharani Freeport di Muar telah pun digazetkan sebagai pelabuhan bebas dan zon bebas pada 28 November 2025.


Mengumumkan demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, pelbagai insentif cukai turut diperkenal bagi menarik syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan perdagangan, operasi pelabuhan laut dalam, serta industri sokongan seperti pusat data dan teknologi hijau.
"Maharani Freeport diyakini bakal merancakkan semula denyut nadi ekonomi Muar khususnya, dan Malaysia keseluruhannya.
"Pelabuhan Bebas (Freeport) yang diterajui sepenuhnya oleh sektor swasta ini dirangka sebagai hab transshipment (antara penghantaran), logistik dan perdagangan serantau yang mesra alam, berteraskan pembangunan karbon sifar bersih," jelas beliau.
Terdahulu Anwar mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang telah berkenan mencemar duli merasmikan Maharani Freeport pada Sabtu, 29 November 2025.

Anwar berkata, dengan nilai pelaburan yang tinggi, kawasan strategik di pintu selatan Selat Melaka ini mempunyai potensi menarik pelaburan global bernilai berbilion-bilion ringgit dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat ekonomi maritim serantau.
"Setiap tahun, lebih 100,000 kapal melalui Selat Melaka. Dengan kelebihan ini, limpahan ekonomi yang dijana diyakini mampu mewujudkan lebih 40,000 peluang pekerjaan baharu, majoritinya dalam bidang bernilai tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"Insya-Allah, saya menaruh harapan besar agar lebih banyak entiti swasta, baik dari dalam mahupun luar negara akan terus memanfaatkan anugerah sumber alam Malaysia dengan melabur dalam projek yang memperkasa ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat seluruhnya," ujar Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media
