
Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) mengambil pendekatan holistik dengan melaksanakan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan yang berteraskan kepada tiga langkah utama.
Pengerusi KPF, Dato’ Mohd Banuri Aris memberitahu, langkah-langkah tersebut ialah:
- a) Penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025,
- b) Pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan, dan
- c) Penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.
"Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk menjana semula aliran tunai tetapi juga membuka laluan kepada model perniagaan yang lebih lestari serta berdaya saing dalam jangka panjang.
“Tumpuan kami bukan sekadar menyelesaikan isu semasa, tetapi membina masa depan yang lebih cerah untuk anggota,” jelasnya pada sidang media khas pada 16 Mei 2026.

MOHD BANURI ARIS. - Kredit foto: Izzat Baharun (KPF)
Kata Mohd Banuri, berdasarkan strategi Pemantapan Terancang dan Penambahbaikan Berterusan itu, KPF akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi koperasi yang berdaya tahan dan berwibawa apabila mencatatkan prestasi yang semakin memberangsangkan.
Pencapaian ini didorong oleh pelaksanaan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan yang berfokus itu serta komitmen tinggi terhadap tadbir urus yang cekap.
Beliau berkata usaha menyeluruh yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu kini mula menunjukkan hasil yang positif, sejajar dengan aspirasi untuk mengembalikan semula keyakinan anggota dan memperkukuh kedudukan kewangan koperasi.
“Kami optimis bahawa pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat-peringkat, serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF,” ujar beliau.

Walaupun berdepan permintaan tinggi terhadap pengeluaran syer, KPF tetap komited dalam memenuhi tanggungjawabnya kepada anggota.
Beliau memberitahu, kebajikan anggota diutamakan melalui dasar pengeluaran syer diurus secara berfasa-fasa.
Katanya, bagi tempoh tahun 2022 hingga April 2025, pihaknya telah menerima sejumlah 29,159 permohonan pengeluaran syer dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18,783 permohonan melibatkan nilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar kepada anggota mencerminkan kesungguhan KPF dalam menunaikan amanah secara bertanggungjawab, katanya lagi.
Permohonan yang masih dalam proses, tambahnya, melibatkan RM372.13 juta melibatkan 10,376 permohonan, akan terus diselesaikan secara berfasa dan penggiliran, dengan keutamaan diberikan kepada kes kritikal seperti perubatan, haji dan umrah serta pendidikan.
“Kami menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan, bagi memastikan kebajikan anggota sentiasa menjadi fokus utama,” ujar beliau.

Kredit foto: Izzat Baharun (KPF)
Menurut Mohd Banuri, KPF ingin menzahirkan penghargaan kepada FELDA, khususnya kepada Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, atas kepercayaan dan kerjasama strategik yang diberikan.
Pelantikan KPF sebagai ejen tunggal pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) membuktikan keyakinan FELDA terhadap peranan KPF dalam ekosistem pembangunan komuniti peneroka.
"Ini membuktikan kecekapan tadbir urus KPF dan sokongan FELDA jadi pemangkin kepada kejayaan ini," kata beliau.
Lebih penting, katanya, KPF berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang stabil, tanpa mencatatkan kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1980 bukti keupayaan pengurusan dan asas ekonomi yang kukuh.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada anggota KPF agar bangkit bersama menuju kecemerlangan dengan terus memberikan sokongan padu dalam agenda pemulihan koperasi.
“Sokongan tidak berbelah bahagi daripada para anggota khususnya peneroka yang setia bersama KPF sejak awal adalah nadi kekuatan kami. Kita akan bangkit bersama untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya penuh semangat. - KitaReporters/Kenyataan Media