
Pusat Pengeluaran Benih Padi PPN Perak di Kawasan Perindustrian Parit Buntar, Perak
Sebuah Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak dijangka beroperasi di Kawasan Perindutrian Parit Buntar, Perak pada bulan Mei 2025 ini.
Pembangunan
semula pusat tersebut membabitkan peruntukan kerajaan sebanyak RM12.72 juta, yang selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan keterjaminan makanan negara melalui
pengeluaran benih padi sah yang mencukupi, berkualiti dan mudah diakses oleh
pesawah di seluruh negara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak pada 6 Mei 2025 lalu.
Sementara
itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam
ucapannya berkata, Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak ini dilengkapi dengan mesin
dan teknologi yang terkini serta canggih bagi memastikan kualiti benih padi
yang disediakan memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan oleh Kerajaan.
Di samping itu, pewujudan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah ini turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.


Sultan Nazrin Shah melihat benih padi selepas majlis perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi di Parit Buntar.
Katanya, tahun
ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu mereformasi industri padi
dan beras negara, serta meningkatkan produktiviti ruminan terutama pengeluaran daging lembu dan kerbau.
Menurut Mohamad,
reformasi industri padi dan beras tidak hanya bertujuan untuk kemandirian
bekalan, tetapi juga untuk membawa industri ke tahap yang lebih tinggi serta
meningkatkan pendapatan para pesawah kita.
Kini, kadar penggunaan beras yang bertambah bermaksud pengeluaran padi perlu ditingkatkan dengan keperluan penggunaan benih padi sah yang bermutu oleh pesawah di lapangan.
“Ia bermaksud kita perlu capai sekurang-kurangnya 71 peratus pengeluaran beras
berbanding sekarang hanya 56 peratus dengan faktor cuaca yang menyebabkan
kekurangan hasil.
“KPKM telah
merangka empat komponen bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh
kebajikan pesawah serta menjamin keterjaminan bekalan beras negara,” katanya.
Mohamad berkata,
empat komponen itu ialah pengukuhan infrastruktur pengairan di kawasan dalam
dan luar jelapang padi negara, pembangunan jelapang padi baharu negara di Sabah
dan Sarawak, pembangunan semula sawah-sawah terbiar di seluruh negara dan
penstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras negara.
Beliau berkata, Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah ini mampu menghasilkan kira-kira 250,000 beg Benih Padi Sah (BPS) dengan kapasiti pengeluaran 5,000 metrik tan (mt) setahun yang akan memberi manfaat kepada 16,000 pesawah di negeri Perak khususnya dengan keluasan tanaman padi seluas 36,000 hektar.

Katanya, bagi memenuhi keperluan pesawah dan melengkapkan rantaian nilai industri padi,
terdapat empat Pusat Pengeluaran Benih
Padi Sah di bawah institusi peladang iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu, Pulau Pinang berkapasiti 5,000
tan metrik setahun, Pertubuhan Peladang Negeri Kedah yang beroperasi di bawah
sub operasi PPK Lahar Bubu dan Pertubuhan Peladang Negeri Selangor yang masih
menanti kelulusan kuota pengeluaran.
“Setelah
tertubuhnya sebuah Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah, pembangunan di daerah ini
juga menyusul tiba. Pembangunan ekonomi dan sosial adalah sebahagian daripada
manfaat yang diterima masyarakat sekitar sama ada secara langsung atau secara
tidak langsung.
“Pusat
Pengeluaran Benih Padi Sah ini bukan hanya untuk institusi peladang, ia adalah
untuk seluruh masyarakat. Patik percaya pada kuasa kerjasama dan kepentingan
menjalin hubungan kukuh dengan rakan kongsi tempatan, nasional dan global,”
katanya lagi.
Pada masa hadapan, Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak ini bakal berdiri teguh sebagai pusat rujukan tempat di mana benih padi sah yang berkualiti dan memenuhi keperluan masyarakat pesawah disediakan. - KitaReporters
