
Sebagai tanda komitmen terhadap kesejahteraan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut untuk jangka panjang, kerajaan Malaysia Madani telah bersetuju untuk meluluskan projek pembinaan Klinik Pakar Baharu dan menaik taraf Hospital Angkatan Tentera Lumut.
"Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk meluluskan projek pembangunan menaik taraf sistem agihan bekalan voltan tinggi (33kV), penggantian tangki operasi Bulk Fuel Installation (BFI) dan menaik taraf jeti operasi Tambatan Pangkalan Lumut," kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Anwar telah menjejakkan kaki buat pertama kali ke Pangkalan TLDM Lumut pada 15 Jun 2025 dan disambut tidak hanya oleh angin menderu Selat Melaka tetapi juga oleh semangat waja warga pertahanan samudera negara.
"Kehadiran saya ini memberi peluang untuk saya beramah mesra dengan angkatan yang menjadi benteng hadapan samudera negara.
"Ia turut memberi keinsafan kepada saya betapa besarnya pengorbanan mereka demi mempertahan ibunda tercinta.
"Berbekalkan semangat yang madani dan kecintaan kepada negara dan tanah air, saya telah mengumumkan komitmen berterusan kerajaan untuk memartabatkan TLDM sebagai benteng maritim yang unggul," ujar beliau.

Menurutnya, beliau turut menerima laporan daripada pegawai bertanggungjawab berkait projek pembangunan yang majoritinya telah diselesaikan.
"Bagi projek yang sedang dilaksanakan, saya menitipkan harapan agar perkara tersebut disegerakan untuk kebajikan anggota," tambahnya.
Kata beliau, pertemuannya dengan keluarga besar TLDM ini telah memperkukuh iltizamnya agar kemudahan dan keselesaan yang anggota TLDM wajar nikmati dapat diperluas.
"Terima kasih warga TLDM Lumut. Negara ini berdiri gagah kerana keringat dan pengorbanan kalian," tegas Anwar.

Sebelum itu, Perdana Menteri menghadiri sesi taklimat dan melakukan kunjungan ke tapak projek Littoral Combat Ship (LCS) di Lumut Naval Shipyard (LUNAS), Lumut pada sebelah pagi 15 Jun 2025.
Projek ini mencatat sejarah tersendiri apabila dihasilkan sepenuhnya dengan kemahiran, keupayaan dan kepakaran anak watan ‘from scratch’.
"Tatkala meneliti kemajuan projek ini, saya titipkan harapan agar projek ini dilaksana mengikut jadual serta tanpa kompromi pada aspek integriti dan prinsip tatakelola yang baik," kata beliau.
Usai sesi taklimat, Perdana Menteri bersama pimpinan tertinggi Kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lantas melawat kapal LCS1 - Maharajalela yang kini pada peringkat ujian.
"Saya punyai keyakinan yang tinggi bahawa dengan iltizam yang jitu daripada TLDM dan LUNAS, projek ini mampu disiapkan dengan jayanya dengan meletakkan aspek kedaulatan perairan negara di peringkat yang cemerlang, kemas dan terbaik," ujar Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
