
Hubungan sejarah serta perdagangan antara Asia Barat (Timur Tengah) dengan China menerusi Asia Tenggara kini diterjemahkan semula melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang julung kali diadakan.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang diadakan di Kuala Lumpur ini menjadi pentas penting dan bersejarah dalam menghidupkan jalur perhubungan tersebut pada era zaman milenia ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam lipatan sejarah, jalur perhubungan ini telah terjalin lama dahulu, dari Laluan Sutera, ke Melaka sebagai hab dan pusat maritim terkemuka, hinggalah terwujudnya jaringan dan laluan perdagangan moden yang kita saksikan hari ini.
"Maka, Malaysia berkeyakinan tinggi ASEAN mampu mencungkil serta mencambah peranan yang sama sebagai pusat global bagi inovasi, perdagangan serta pertukaran ilmu dan budaya," tegasnya pada pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 27 Mei 2025.

"Alhamdulillah, buat julung kalinya pentas ASEAN Ke-46 pada kali ini (2025) berjaya menghimpun serta mempertemu entiti gergasi yang kaya dengan khazanah sejarah dan tamadun -- ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
"Ini dalam usaha dan upaya kita menjelmakan kerjasama serta sinergi yang berpasak pada prinsip saling hormat dan persefahaman yang jitu," kata Anwar.
Dalam konteks memajukan agenda ASEAN pada kali ini iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ ke hadapan, beliau berkata, tentunya pertemuan bersejarah ini menjadi lembaran baharu dalam memungkinkan kesejahteraan yang dikongsi secara bersama.
Pada tahun 2023, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN telah mencecah $3.8 trilion, lantas meletakkan kedudukan ekonomi rantau ini di tangga kelima terbesar dunia.
Perdagangan antara ASEAN dan GCC pula bernilai $130.7 bilion dengan pelaburan asing sebanyak $390.2 juta, manakala perdagangan ASEAN-China mencatat angka tertinggi yakni sebanyak $696.7 bilion dan pelaburan asing sebanyak $17.3 bilion.

"Justeru, potensi pertumbuhan yang masih belum diterokai adalah amat besar dan luas," tambah Perdana Menteri.
"Malaysia punyai keyakinan bahawa falsafah dan semangat regionalisme yang dipatri atas faham konsensus, prinsip keterbukaan dan saling hormat akan terus menunjangi kekuatan keseluruhan ASEAN.
"Walhasil, ia memungkinkan kerjasama strategik yang baharu dengan iltizam yang dibina secara bersama dengan masa depan yang lebih terjamin, kukuh dan makmur untuk generasi yang akan datang," ujar beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media
