Politik & Negara 06 Jul, 2025

The Asian Renaissance dalam bahasa Itali! Jambatan pemikiran, idea! Rapatkan jurang Timur-Barat! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Buku tulisan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, ‘The Asian Renaissance’, yang diterbitkan lebih 20 tahun lalu akan ditejemahkan ke dalam bahasa Itali.

"Saya terharu dengan penterjemah, Andrea Fais dan penerbit, Stefano Bonilauri yang memilih untuk menterjemah karya ‘The Asian Renaissance’ ke dalam bahasa Itali.

"Karya ini, yang diterbitkan lebih dua dekad lalu, menggariskan gagasan besar mengenai kebangkitan semula tamadun Asia melalui nilai-nilai ilmu, budaya, keterbukaan dan keadilan sebagai tindak balas terhadap ketidakseimbangan global dan dominasi wacana Barat," ujar beliau dalam satu pertemuan di Rom, Itali pada 2 Julai 2025.



Beliau berkata, beliau amat menghargai dedikasi sarjana Itali dalam menterjemahkan karya ini, yang membolehkan idea-idea besar tentang demokrasi dan pembangunan berteraskan nilai dapat dikongsi dan difahami lebih meluas oleh khalayak antarabangsa.

"Usaha ini bukan sekadar kerja penterjemahan, tetapi merupakan jambatan pemikiran dan idea merapatkan jurang kefahaman Timur dan Barat terutama dalam lanskap dunia yang berpecah belah. 

"Moga karya ini terus menjadi sumber inspirasi dalam usaha kita memperjuang kebangkitan semula nilai-nilai kemanusiaan, ilmu dan keadilan sejagat," jelasnya.



Perdana Menteri turut berkesempatan mengadakan pertemuan bersama komuniti Islam di Rom.

Pertemuan tersebut telah diketuai Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS), Imam Yahya Pallavicini dan Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali, Masjid Besar Rom, Abdellah Redouane.

Pertemuan ini, katanya, memberi ruang untuk mereka berbincang dan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah, termasuk menangani isu Islamofobia secara bijaksana dan berhemah.

"Saya tekankan komitmen Malaysia dalam memartabatkan Islam yang menekankan nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian menerusi pendidikan, dakwah serta kerjasama antarabangsa dengan komuniti Islam di Itali.

"Sebagai tanda ukhuwah, saya turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di sini serta menyerahkan senaskhah al-Quran edisi khas, selain 10 lagi naskhah terjemahan dalam bahasa Itali sebagai simbol persaudaraan dan penyebaran ilmu," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
16
0
10
0
You will be interested