
Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian -- dengan syarat bahawa Israel menghentikan serangan terhadap wilayah-wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendirian tersebut telah dinyatakan oleh Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian kepadanya melalui telefon semasa beliau bertanya kepada Pezeshkian berhubung perkembangan terkini konflik antara Iran dan rejim Zionis Israel.
"Beliau turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran," kata Anwar
Perdana Menteri memaklumkan demikian dalam satu hantaran dalam akaun rasmi Facebooknya pada 24 Jun 2024 selepas selesai perbincangan melalui telefon itu.
Beliau berkata, Malaysia pula secara jelas menegaskan pendirian bahawa kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah meragut -- tidak hanya rakyat biasa -- tetapi juga kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran.
"Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa," tegasnya.

Sejak tercetusnya konflik ini, Anwar berkata, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar.
"Namun, dalam kerangka keadilan sejagat, kami mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya.
"Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri.
"Malaysia juga menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.
"Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan," jelas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media