
Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) bersalaman dengan seorang kakitangan yang terlibat dengan projek pembinaan jalan raya dari ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah ke CIQ Sadao.
Kawasan sempadan Malaysia dan Thailand bakal menjadi lebih rancak dengan kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara apabila projek jalan raya menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand siap nanti.
Projek itu yang menelan belanja kira-kira RM141.58 juta telah bermula pada 21 Jun 2024 dan dijangka siap lebih awal sebelum September 2025. Setakat ini pelaksanaannya mencapai 47 peratus pada 29 April 2025 lalu.
Dalam perkembangan terbaharu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan lawatan kerjanya ke kawasan projek pembinaan jalan raya dari ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah ke CIQ Sadao itu pada 3 Mei 2025 lalu.

Alexander (duduk, tiga dari kiri) diberikan taklimat oleh seorang petugas pada 3 Mei 2025.
"Saya turun padang dan dapat melihat sendiri kerja-kerja itu dilakukan dengan baik. Ini adalah program kerja Kerajaan dan saya mahu meninjau tentang perkembangan pembinaan jalan raya itu," katanya.
Nanta berkata, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa komited untuk merancakkan pembangunan infrastruktur, termasuk membina dan menaik taraf jalan-jalan raya di sempadan negara demi meningkatkan lagi aspek keselamatan di samping
memperkukuh aktiviti ekonomi.
Projek pembinaan jalan raya itu merupakan milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi pelaksana adalah Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

"Saya mengarahkan pengurus projek, JKR Malaysia, JKR Negeri dan pihak kontraktor berganding bahu dan melakukan apa sahaja yang terbaik bagi menyiapkan projek itu daripada berlaku projek sakit dan lain-lain," katanya lagi.
Pelaksanaan projek tersebut tercetus hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sempadan Malaysia-Thailand pada November 2023, atas jemputan rasmi Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.
Beliau menambah, apabila siap jalan raya itu kelak, ia juga boleh mempercepat proses imigresen dan aliran trafik di kawasan sempadan Malaysia-Thailand membabitkan semua kenderaan awam serta komersial. - KitaReporters