Seni & Sukan 06 Jun, 2025

Hadiah lebih lumayan! AIM24 kembali megah! Tiga kategori baharu! Wang DKK bertambah! 11 pemenang!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this



Anugerah Industri Muzik (AIM), acara anugerah muzik paling berprestij dan lama bertapak di Malaysia, akan kembali menganjurkan edisi ke-24 pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands, dan bakal disiarkan secara langsung oleh RTM sebagai penyiar rasmi.

Sejak tahun 1993, AIM yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), telah menjadi tunjang utama dalam mengangkat martabat seni muzik tempatan, dan kembalinya kali ini dijangka membawa nafas baharu kepada industri.

Tahun ini, AIM24 memperkenal tiga kategori baharu yang sejajar dengan kepelbagaian dan kekayaan landskap muzik Malaysia.

Kategori-kategori tersebut termasuklah Lagu Perpaduan Terbaik,  bertujuan mengiktiraf karya muzik yang memupuk nilai perpaduan, inklusiviti, dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan bahasa.

Selain itu, Lagu Tradisional Terbaik diperkenal bagi menghargai ciptaan yang berakar umbi daripada warisan muzik tradisional Malaysia, dalam usaha melestarikan identiti dan budaya tempatan. 

Manakala kategori ketiga, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, direka untuk menonjolkan kolaborasi rentas negara yang menampilkan artis Malaysia bersama rakan kolaborasi antarabangsa dalam usaha mengembangkan bakat ke peringkat global. 

Penambahan kategori ini mencerminkan komitmen AIM dalam menjunjung prinsip kepelbagaian, warisan budaya, keterangkuman, dan pengiktirafan antarabangsa untuk industri muzik Malaysia.


Sidang media AIM24 berlangsung di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur.


Sebagai dorongan besar kepada industri, Kementerian Komunikasi Malaysia akan memperuntuk RM700,000 kepada sebelas pemenang kategori AIM24. 

Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda berbanding RM320,000 yang diberikan kepada empat pemenang pada AIM23.

Dana ini merupakan sebahagian daripada program Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures (MyCV) untuk menyokong penerbitan, promosi, dan pengedaran kandungan kreatif yang bernilai tinggi dari segi komersial dan seni. 

Dana akan disalurkan melalui syarikat rakaman pemenang bagi memaksimumkan impak ekonomi dalam ekosistem industri muzik.

“AIM24 meneruskan usaha kami dalam memberi pengiktirafan kepada karya-karya cemerlang oleh para penggiat muzik. Penambahan kategori seperti ‘Lagu Perpaduan Terbaik’ dan ‘Lagu Tradisional Terbaik’ mengangkat warisan budaya pelbagai kaum Malaysia. 

"Manakala kategori ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ meraikan kejayaan artis kita yang mencipta nama pada peringkat antarabangsa,” kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24 pada sidang media AIM24 yang berlangsung di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort pada 4 Jun 2025. 

Turut hadir Pengarah, Bahagian Program TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM),  Reza Sariman Othman dan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.


Rosmin Hashim (kanan) ditemani Reza Sariman pada sidang media AIM24 pada Rabu, 4 Jun 2025.


“Kami juga amat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas perluasan sokongan melalui dana DKK kepada pemenang AIM24. 

"Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan global. Kami juga amat teruja dengan kerjasama pertama kami bersama RTM sebagai penyiar rasmi acara anugerah muzik utama negara ini,” tambah  Rosmin.

Beliau turut mengumumkan tempoh pencalonan AIM24 kini dibuka kepada lagu atau album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan India, yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. 

Ahli RIM boleh menghantar pencalonan secara dalam talian melalui aim1.org.my/online-submission-2025/ bermula Rabu, 4 Jun 2025, hingga Jumaat, 4 Julai 2025, pukul 5.00 petang.

Seperti amalan sebelum ini, penjurian akan dikendalikan oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar industri muzik tempatan yang dihormati, dan diketuai Ketua Juri yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur AIM.

Markah yang diberikan oleh para juri akan diaudit oleh juruaudit yang dilantik sebelum keputusan dikeluarkan dan diumumkan. 

Penerima Anugerah Sri Wirama pula akan dipilih oleh Majlis RIM dan pengumuman lima calon akhir AIM24 dijangka pada Ogos 2025.


Pada AIM23 tiga tahun lalu (pada 2022), Anugerah Sri Wirama diterima oleh Penasihat syarikat rakaman SRC, Tan Su Loke. Siapa pula tahun ini?


Sementara itu, Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, menyatakan rasa bangga dan berbesar hati menjadi penyiar rasmi untuk AIM24, sebuah platform berprestij yang telah lama mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri muzik tanah air.

"RTM berasa bangga dan berbesar hati menjadi penyiar rasmi untuk Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), sebuah platform berprestij yang telah lama mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri muzik tanah air. Sebagai penyiar nasional, kami percaya bahawa muzik mempunyai kuasa yang luar biasa sebagai alat penyatuan budaya dan sosial. 

“AIM bukan sekadar acara anugerah, tetapi merupakan penghormatan kepada kreativiti, ketekunan, dan kecemerlangan para penggiat muzik Malaysia -- termasuk penyanyi, penulis lagu, penerbit dan komposer”, ujar Suhaimi Sulaiman.

Beliau menambah, RTM komited dalam menyokong bakat tempatan dengan mengetengahkan hasil karya mereka kepada khalayak ramai, sekali gus memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. 

Kerjasama bersama RIM ini selari dengan visi RTM untuk mengangkat kandungan tempatan dan memperluas platform kepada artis-artis tempatan. 

“Kami berharap kerjasama ini akan terus menyemarakkan ekosistem muzik Malaysia yang mampan dan berdaya saing di peringkat global, di samping memberi inspirasi kepada generasi bakat baharu. RTM amat teruja untuk menyampaikan pengalaman AIM24 yang bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia.,” akhiri Suhaimi. - KitaReporters


Throwback... AIM23 menyaksikan artis hip hop, Yonnyboii mengungguli kategori Album Terbaik.


Senarai Penuh 31 Kategori AIM24 adalah seperti berikut:

KATEGORI UTAMA:

1.    Artis Baharu Terbaik 

2.    Vokal Lelaki Terbaik 

3.    Vokal Wanita Terbaik 

4.    Vokal Kumpulan Terbaik 

5.    Kugiran Terbaik 

6.    Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik 

7.    Video Muzik Terbaik

8.    Runut Bunyi (OST) Dalam Filem/Drama

9.    Lagu Rock Terbaik

10.  Lagu Pop Terbaik

11.  Lagu Rap/Hip Hop Terbaik

12.  Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik

13.  Lagu Inggeris Tempatan Terbaik

14.  Lagu Cina Tempatan Terbaik

15. .Lagu India Tempatan Terbaik

16.  Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara

17.  Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/komposer Luar Negara Terbaik

18.  Lagu Nasyid Terbaik 

19.  Lagu Etnik Terbaik

20.  Lagu Perpaduan Terbaik 

21.  Lagu Tradisional Terbaik 

22.  Album Terbaik

23.  Lagu Terbaik

ANUGERAH KHAS:

Anugerah Sri Wirama

KATEGORI PRAANUGERAH:

1.  Kulit Single/Album Terbaik

2.  Rakaman Album Terbaik

3.  Rakaman Lagu Terbaik

4.  Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu

5.  Lagu Paling Tinggi Di Strim

6.  Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube

7.  Lagu Paling Tinggi Ditonton Di TikTok


Pasangan suami isteri, Ernie Zakri dan Syamel meraih trofi Lagu Terbaik bagi single 'Goodbye Hello' yang mengangkat kisah percintaan mereka.

7
11
0
15
0
You will be interested