Alam & Sains 05 Oct, 2020

Seorang positif COVID-19! Staf UniSZA kena kerja dari rumah!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

SELEPAS seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu disahkan positif COVID-19, pengurusan UniSZA telah memutuskan agar semua kakitangan universiti berkenaan untuk bekerja dari rumah (BDR/WFH) bermula dari  5 Oktober 2020 hingga 7 Oktober 2020. : KitaReporters

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu


Lagi cerita-cerita berkaitan COVID-19:

https://kitareporters.com/search?search=covid-19


Terdahulu, seorang kakitangan UniSZA yang mempunyai sejarah perjalanan dengan menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Terengganu disahkan positif COVID-19. Beliau yang pulang dari Sabah bersama seorang lagi individu juga disahkan positif COVID-19. 

Sejurus UniSZA mendapat maklumat tersebut kakitangan berkenaan diarahkan untuk membuat saringan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan keputusannya adalah didapati positif. Mangsa kemudian telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu bagi rawatan dan pengasingan.

Berikutan kes berkenaan, seramai 14 orang kakitangan UniSZA telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Naib Cancelor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan


Naib Cancelor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, semua warga universiti tersebut  yang mempunyai kontak dengan kakitangan yang dikuarantin telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu bermula 2 hingga 15 Oktober 2020 bagi mengelakkan penularan dalam UniSZA.

Katanya, sebagai langkah kawalan, Pengurusan UniSZA telah memutuskan agar semua kakitangan untuk bekerja dari rumah (WFH) bermula dari  5 Oktober 2020 hingga 7 Oktober 2020.

“Manakala, aktiviti disinfeksi secara menyeluruh akan dilaksanakan di seluruh kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini, Ahad 4 Oktober 2020.

Ativiti disinfeksi dilakukan di UniSZA Gong Badak, Kuala Terengganu


Arahan tersebut, kata Dr Hassan Basri, melibatkan semua operasi pentadbiran kecuali kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman tertakluk kepada kelulusan Naib Canselor.

Beliau berkata, kebajikan pelajar yang masih berada di dalam kampus akan diuruskan oleh pihak universiti. Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diteruskan seperti biasa secara dalam talian (online).


Kenyataan Media UniSZA


Sejak PKP pada Mac 2020, kesihatan semua warga kakitangan dan pelajar telah dipantau melalui Sistem Penilaian Risiko COVID-19 (ChaSe). Semua kakitangan dan pelajar yang dikesan berisiko melalui sistem ini telah diarahkan membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan UniSZA.

Dr Hassan berkata, susulan kes berkenaan semua program, mesyuarat dan bengkel secara bersemuka di kampus UniSZA telah ditangguhkan sehingga keadaan kembali terkawal. UniSZA juga menggerakkan pasukan kaunseling terlatih dan unit kebajikan yang aktif membantu staf dan keluarga yang terjejas.

Katanya, orang awam (bukan warga UniSZA) yang mempunyai kontak rapat dengan kes telah dihubungi secara terus oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus untuk tindakan selanjutnya.


Dr Hassan Basri berkata, warga UniSZA dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan, elakkan perkumpulan dan patuhi Standard Operating Procedure (SOP) serta amalkan norma baharu yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, warga UniSZA juga diingatkan untuk  meningkatkan kawalan kendiri dan tidak merasa selesa atau alpa terhadap risiko jangkitan CVID-19 dalam komuniti serta sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2020. Budayakan amalan 3S/3C dan 3W sebagaimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia.

TAMAT

 

1
0
2
0
0
You will be interested