Alam & Sains 23 Jul, 2021

COVID-19: Penduduk bimbang! Terengganu catat kes positif harian naik mendadak dalam dua hari!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


PENDUDUK Terengganu yang sudah selesa berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak tiga minggu lalu kembali bimbang dengan peningkatan kes positif harian COVID-19 di negeri itu yang mencatatkan jumlah lebih 560 kes dalam tempoh dua hari.

Peningkatan kes secara mendadak dengan 391 kes baharu yang dilaporkan pada Khamis 22 Julai 2021 dan 171 pada Rabu 21 Julai 2021 amat mengejutkan kerana sebelum ini Terengganu hanya mencatatkan dua digit dalam tempoh Fasa 2 PPN.

Daerah Dungun mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 203 kes diikuti Marang (99 kes) dan Kemaman (56 kes). Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga kini sebanyak 13,548 kes.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan JKNT



Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melaporkan data saringan kluster sehingga Rabu 21 Julai 2021 turut merekodkan 32 kes baharu melibatkan 11 kluster di dalam negeri. Manakala  kluster terbaharu dicatatkan sehingga 12 tengah hari pada Khamis 22 Julai 2021 adalah Kluster Padang Pulut. 

Menurut laporan tersebut, jumlah kematian harian adalah tiga orang dengan kes yang sedang dirawat adalah seramai 1,201 orang.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh JKNT menerusi Facebook rasminya melaporkan  kategori kes positif tertinggi adalah membabitkan  kategori satu menunjukkan 336 kes diikuti kategori 2 (48 kes) dan kategori tiga (7 kes).



Berikutan perkembangan terbaharu itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan.

PKPD yang dilaksanakan itu  membabitkan lokaliti Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dilanjutkan bermula 24 Julai sehingga 6 Ogos 2021

Selain itu, dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun juga sedang menjalani PKPD yang berkuatkuasa pada Jumaat 21 Julai 2021 sehingga 3 Ogos 2021


Taman Awam di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ditutup kepada orang ramai


Sementara itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil tindakan menutup sebahagian tempat rekreasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai berkumpul kerana selepas mendapat  aduan orang awam menyalahgunakan kelonggaran aktiviti riadah dan bersukan yang diberikan dengan tidak mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - KitaReporters 


 

0
3
0
1
1
You will be interested