HUKUMAN yang dikatakan melucukan tetapi benar apabila seekor biri-biri dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun apabila haiwan itu didapati bersalah membunuh seorang wanita di Akuwal, Rumbek, Sudan Selatan, baru-baru ini.
Para pemimpin tempatan dari mahkamah adat, berpendapat
biri-biri jantan itu bersalah selepas melakukan beberapa kali serangan serta menaduk rusuk wanita itu, Adhieu
Chaping, 45, sehingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada minggu
lepas.
Media Daily Star dipetik melaporkan, berikutan dengan kejadian tersebut, para pemimpin terbabit memutuskan haiwan itu bersalah dan perlu dijatuhkan hukuman penjara di kem tentera.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ternakan kambing
Ketua Polis, Elijah Mabor berkata, kedua-dua pihak (pemilik
biri-biri dan keluarga mangsa) telah bersetuju bahawa pemilik haiwan itu perlu
membayar lima ekor lembu kepada keluarga mangsa sebagai pampasan.
Perjanjian tersebut adalah yang ditetapkan oleh ketua masyarakat di kawasan kejadian.
Menurutnya, tuan punya haiwan itu tidak bersalah tetapi yang melakukan jenayah adalah biri-biri tersebut.
‘’Kami sebagai polis akan mengawal serta memastikan keadaan itu selamat dan biri-biri jantan itu kini telah ditahan di balai polis.
"Selepas habis tempoh penjara selama tiga tahun itu, biri-biri tersebut hendaklah diberi kepada keluarga Adhieu walaupun sebelum itu mereka sudah mendapat lima ekor lembu,’’ katanya.
Undang-undang tempatan telah menetapkan bahawa setiap haiwan ternakan yang membunuh seseorang kemudian haiwan tersebut akan diberi kepada keluarga mangsa.
Di Sudan Selatan, lembu adalah bentuk mata wang pilihan yang mana haiwan itu juga digunakan untuk membeli rumah dan mas kahwin. - KitaReporters