Alam & Sains 01 Oct, 2023

Tahu tak? Burung hijrah boleh tidur ketika terbang berhari-hari! Dr Nur Munira Azman buat kajian!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

.

Kawasan pantai di Malaysia sentiasa menjadi tumpuan burung hijrah.


CERITA seekor burung kedidi ekor berjalur berusia lima bulan yang terbang 13,560 kilometer tanpa henti selama 11 hari seperti dilaporkan oleh laman berita Oddity Central di Australia menggemparkan dunia pada tahun lalu (2022). 

Burung hijrah itu terbang dari Alaska ke Tasmania pada 13 Oktober tahun lalu, merentasi Lautan Pasifik dan Laut Tasmania. Haiwan itu yang memecah Guinness World Records dan dianggap cerita mustahil tapi hakikatnya Allah berkuasa melakukan apa sahaja ke atas makhluknya.


Dr Nur Munira Azman memberi penerangan mengenai burung hijrah.


Bagi saintis dan pengkaji burung, ia bukan cerita dongeng bagi burung hijrah untuk terbang sejauh beribu-ribu kilometer dari habitat asalnya di Utara untuk mengelak musim sejuk yang melampau setiap tahun. 

Penyelaras Projek Burung Pantai Semenanjung Malaysia, Dr Nur Munira Azman, berkata Malaysia bertuah kerana menjadi antara lokasi persinggahan burung hijrah setiap tahun. 

Beliau berkata, sesetengah burung ini terbang sejauh 10,000 kilometer (km) dari serata dunia ketika musim penghijrahan.

“Mereka singgah di lokasi tertentu untuk berehat, memulihkan tenaga dan mencari tempat perlindungan. 

“Lokasi itu ialah di Kapar, Klang (Selangor); Teluk Air Tawar, Kuala Muda (Pulau Pinang); dan Teluk Bako-Buntal (Sarawak). Semua kawasan pesisiran pantai di negara ini menjadi tempat persinggahan burung pantai hijrah,” katanya. 

Menurutnya, burung migrasi dikesan hadir ke negara ini di antara Julai hingga April setiap tahun. 

“Burung pantai hijrah ini unik kerana di negara asal, mereka hanya makan buah dan serangga kerana habitat mereka di atas padang rumput. Tapi, apabila berhijrah, diet mereka berubah dengan memakan cacing, ketam dan ikan kerana mereka berada di pesisir pantai.

“Sekitar pantai Teluk Air Tawar, Penaga, Pulau Pinang seluas 600 hektar yang kaya dengan sumber organisma marin menjadi faktor burung hijrah singgah di lokasi itu. 

“Burung hijrah memerlukan persekitaran yang selesa dan selamat untuk berehat selain makanan yang banyak selepas terbang ribuan kilometer dari habitat asal mereka,” katanya lagi.


Burung hijrah sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko ancaman.


Beliau yang mengkaji spesies burung hijrah sejak 6 tahun lalu mendapati sekitar pantai Teluk Air Tawar antara laluan burung pantai hijrah dari Hemisfera Utara seperti Rusia, Siberia dan Artik.   

Dr Munira mengakui, burung boleh tidur ketika terbang selama berhari-hari tanpa henti kerana burung pantai mampu menidurkan sebelah otaknya untuk berehat dan tidur. 

“Inilah bukti kekuasaan Allah malah saintis mengakui keunikan itu walaupun tampak mustahil bagi akal manusia,” katanya. 

 Layari http://www.facebook.com/shorebirdspenisularmalaysia untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti burung pantai hijrah. - KitaReporters


 

Great Knots Breed antara burung hijrah yang berasal dari Siberia, Rusia.

15
9
0
15
0
You will be interested