Dalam sukan bola sepak liga-liga utama dunia, penggunaan VAR secara meluas dapat mengurangkan risiko kesilapan yang dibuat oleh pengadil. - Kredit foto: Getty Images
PENGADIL bola sepak dari Malaysia nampaknya terpaksa melupakan hasrat untuk terlibat dalam pertandingan bola sepak paling berprestij, Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar sekiranya mereka tidak mempunyai lesen Video Asisstant Referee (VAR) atau Pengadil Berbantukan Video.
Tanpa pengalaman berkaitan VAR, pengadil tempatan bukan
sahaja tidak layak untuk bertugas di Piala Dunia dan Sukan Olimpik tetapi tidak
berpeluang untuk terpilih bagi mengadili sebarang aksi pertandingan tertinggi
di Asia, termasuk Liga Juara-Juara Asian Football Confederation (AFC) .
Hal ini disebabkan syarat dan kriteria yang ketat dikenakan Federation of International Football Association (FIFA) bagi melantik pengadil yang mempunyai pengalaman berkaitan VAR kerana teknologi berkenaan digunakan secara meluas pada peringkat antarabangsa.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penggunaan teknologi VAR
Kapten Halim Abdul Hamid (bertanda bulatan), pernah menjadi kebanggaan negara kerana terpilih sebagai pembantu pengadil dalam kejohanan bola sepak Piala Dunia 1998 di Perancis. - Kredit foto: Skysports.
Sebagai contoh, kesemua 36 orang pengadil, 69 orang pembantu pengadil dan 24 pegawai video perlawanan rasmi (VMO) yang dilantik oleh FIFA untuk saingan Piala Dunia Qatar 2022 bermula bulan 21 November 2022, mesti mempunyai lesen VAR dan menggunakannya secara konsisten.
Lebih menarik, daripada 24 pegawai VMO yang terpilih, Muhammad Taqi Aljaafari Jahari menjadi wakil kelima dari Singapura untuk ke Piala Dunia 2022 kerana kelayakan dan pengalaman beliau menggunakan VAR di republik itu (Singapura), manakala pula tiada seorang pun wakil Malaysia yang terpilih.
Muhammad Taqi Aljaafari Jahari terpilih sebagai pengadil di Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar, Oman. - Kredit foto: Boothype
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan (BH, 25 Oktober 2022) mengenai penggunaan VAR dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan (2023) mengesahkan tiada keperluan mempraktikkan teknologi tersebut walaupun negara jiran sudah menggunakannya.
Ini disebabkan kosnya terlalu tinggi, banyak aspek yang perlu diperhalusi seperti tahap kesediaan pengadil tempatan untuk mempelajari secara khusus kaedah menggunakan VAR.
Malah, kebanyakan stadium di Malaysia masih lagi tiada kemudahan untuk pemasangan VAR dan sekali gus merencatkan usaha MFL untuk memperbaiki mutu pengadilan.
Pasukan yang mengendalikan VAR biasanya terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga ahli bertauliah yang akan membuat penyemakan semula sebelum keputusan muktamad diberikan kepada pengadil perlawanan. - Foto kredit: Iluminasi.com
Sebelum ini, teknologi VAR pertama kali digunakan di Malaysia pada perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan kelab Oman, Al-Seeb pada 22 Oktober 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ), Kuala Lumpur.
Ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak turut mendedahkan perlawanan akhir tersebut sepatutnya berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur (SBCKL) tetapi terpaksa bertukar lokasi di SNBJ kerana (stadium) tidak mencapai standard yang diperlukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Mereka (AFC) mahu menggunakan VAR dan perlu mempunyai 1800 lux untuk kecerahan lampu limpah yang tidak ada di sini (Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur) ,” jelas Bojan Hodak.
Umum mengetahui, pelbagai kontroversi melibatkan pengadil tempatan bagaikan acara tahunan dalam saingan Liga-M di mana setiap musim terdapat beberapa kejadian yang mengakibatkan ramai pihak mempertikai mutu pengadilan (bola sepak).
Sewajarnya pihak FAM kini mempertimbang semula penggunaan teknologi VAR pada masa hadapan demi menjaga maruah dan kewibawaan para pengadil serta meningkatkan segala kemudahan teknologi membabitkan sukan bola sepak negara. - KitaReporters
Malaysia sepatutnya bersedia daripada sekarang untuk menggunakan teknologi VAR seperti Singapura sebagai persiapan menjadi tuan rumah kepada sukan bola sepak bertaraf antarabangsa pada masa akan datang. - Kredit foto: Wikimedia.
Sumber:
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2022/10/1016453/tiada-penggunaan-var-dalam-masa-terdekat
https://www.vocketfc.com/liga-malaysia-belum-bersedia-guna-khidmat-var/
https://www.vocketfc.com/final-piala-afc-isu-teknikal-punca-kl-city-terpaksa-beraksi-di-bukit-jalil/
https://soscili.my/pembantu-pengadil-waktu-beckham-terima-kad-merah-serta-4-lagi-orang-malaysia-di-piala-dunia/