Alam & Sains 16 Dec, 2022

Hebat! Game digital seni silat! Studio Kembara labur RM1.3j! Bangunkan bersama Univrse Interactive!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Syarikat perfileman tempatan, Studio Kembara Sdn Bhd yang mencipta sejarah filem kutipan box office paling tertinggi, ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’, maju setapak lagi dengan hasrat menerokai pula bidang industri permainan digital dan ‘virtual realiti’ (realiti maya).

Sehubungan itu, satu perjanjian kerjasama ditandatangani bersama syarikat Univrse Interactive Sdn Bhd melalui pembelian saham sebanyak 30 peratus bersamaan RM1.3 juta bagi tujuan pembangunan dan penghasilan permainan digital mulai tahun 2023.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan permainan digital

Dari kiri: Cheong Hom Tai, Shaharuddin Mat Dali, Mohd Hezri Amir Abd Latiff dan Abdul Rahman Mat Dali pada majlis MoU antara Studio Kembara dan Univrse pada 15 Disember 2022.


“Kami berhasrat menghasilkan produk hiburan bermanfaat dalam bentuk permainan digital seperti memperkenal mainan bersandarkan budaya serta seni mempertahan diri tradisionall melibatkan penggunaan senjata-senjata Melayu seperti keris, sundang, kerambit dan sebagainya yang ramai masih tidak tahu kewujudannya,” ujar Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali ketika ditemui pada sidang media Perjanjian Kerjasama antara Univrse dan Studio Kembara yang berlangsung di ibu pejabat Beyond4, Menara HLX, Kuala Lumpur pada 15 November 2022.

Perjanjian ditandatangan oleh Abdul Rahman dengan Ketua Pegawai Eksekutif Univrse Sdn Bhd, Mohd Hezri Amir Abd Latiff  disaksikan bersama antaranya oleh Pengarah Beyond4 Sdn Bhd,  Cheong Hom Tai dan Shaharudin Mat Dali selaku Penerbit Studio Kembara.



Berkongsi lanjut, menurut Abdul Rahman, perjanjian yang dimeterai  merupakan permulaan usaha Studio Kembara dan Univrse untuk menghasilkan produk hiburan bermanfaat dalam bentuk permainan digital yang menjadi kegemaran anak-anak muda terkini,

"Kami yakin terdapat potensi besar dalam bidang ini memandangkan jutaan kanak-kanak menggunakan permainan digital dan memerlukan permainan yang berkonsep hiburan bermanfaat,” ujar Abdul Rahman sambil melahirkan rasa terujanya dapat menjadi rakan kongsi baharu pada Univrse dengan idea idea kreatif daripada team anak muda. 

Malah kata Abdul Rahman, beliau juga berkeyakinan pihak Univrse Interactive mampu melaksanakan visi Studio Kembara apatah lagi terbukti kejayaan Univrse sebagai syarikat yang tersenarai pendek antara 15 teratas dari 600 syarikat pemula (start-up) dan sedang melalui fasa kedua  ‘My Startup Pre Accelerator Programme’ dan telah memenangi tempat ketiga di Hong Leong Bank Hackaton tahun 2022. 


Abdul Rahman Mat Dali.


Sementara itu, Hezri Amir memaklumkan  pembangunan dan penghasilan permainan digital bersama Studio Kembara dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya sebelum akhir tahun 2023. 

“Dalam tempoh itu kami akan menghasilkan beberapa produk awal sebagai permulaan yang dijangka dapat dibangunkan pada suku pertama tahun 2023,” tambah Hezri sambil memberitahu menurut kajian ekonomi yang bakal dijana oleh metaverse bakal cecah 13 trilion dolar pada tahun 2030 manakala golongan muda menghabiskan masa 5 jam sehari dalam dunia metaverse.

Dalam pada itu, peranan syarikat Beyond4 pula akan menguruskan soal pemasaran secara global.

“Apabila produk dah siap, kami akan usahakan agar ia dapat diperkenal pada peringkat antarabangsa kerana kami mempunyai kepakaran dalam hal berkaitan,” jelas Cheong Hom Tai. - KitaReporters


Hezri Amir teruja dapat bekerjasama dengan Studio Kembara membangunkan permainan digital hiburan bermanfaat.

11
12
0
15
0
You will be interested