KETIKA subjek wayang 'drive-in' atau wayang pandu lalu menjadi tular dan percakapan dalam media sosial, mereka mungkin tidak mengetahui, rakyat Malaysia generasi lama telah dulu terdedah kepada konsep menonton wayang di kawasan terbuka dengan layar skrin yang besar ini. Masyarakat dulu dah lama berkumpul beramai-ramai di padang untuk menonton wayang pacak!!! : KitaReporters
Petang itu apabila van Jabatan Penerangan memasuki kampung dan berhenti di deretan kedai, suasana jadi meriah.
Penduduk Kampung Sungai Haji Muhammad, Bagan Datuk, Perak sudah tahu jika van Jabatan Penerangan datang bererti pada malamnya akan ada tayangan wayang pacak di padang sekolah.
Dengan segera berita tersebar ke seluruh kampung dan kampung-kampung berdekatan.
Yang ada di kedai atau ada urusan luar akan segera balik ke rumah untuk bersiap sedia menonton wayang bersama rakan atau keluarga.
SEKOLAH Kebangsaan Sungai Haji Muhammad, Bagan Datuk, Perak. Di padang sekolah inilah wayang pacak Jabatan Penerangan sering ditayangkan.
Senario ini sudah tidak wujud masa ini!!!
Ia adalah nostalgia tahun 60-an dan awal 70-an yang masih tersemat di hati generasi lama, bukan sahaja di Kampung Sungai Haji Muhammad, tempat penulis membesar dan bersekolah, tetapi juga di kampung-kampung lain.
Ketika itu wayang pacak Jabatan Penerangan adalah saluran hiburan dan informasi utama penduduk kampung.
Sangat sedikit yang mampu memiliki radio ketika itu, apatah lagi televisyen (TV). Tambah lagi ketika itu belum ada bekalan elektrik di kampung. Membeli TV perlu membeli sama generator.
Wayang Jabatan Penerangan ini pula bukan kerap datang. Biasanya dalam tiga empat bulan sekali. Namun kekerapan bertambah ketika musim tertentu, misalnya musim pilihan raya.
Kerana itulah apabila ia datang, orang kampung sangat seronok dapat berkumpul beramai-ramai menyaksikan tayangan filem dalam keadaan santai.
PENDUDUK kampung dan pekerja Jabaan Penerangan bekerjasama mendirikan layar putih untuk tayangan wayang pacak. - Kredit foto: akuanakpahang.blogspot.com
Pada petang itu, kakitangan Jabatan Penerangan akan membuat persediaan dengan memacak besi di padang sekolah bagi merentang kanvas yang menjadi layar putih.
Pada waktu ini pun orang ramai sudah ada yang datang, terutama kanak-kanak, sambil membantu para petugas membuat persiapan mana yang perlu.
Biasanya lepas maghrib, padang sekolah mulai dipenuhi orang ramai. Masing-masing membawa keperluan seperti tikar untuk alas duduk serta makanan dan minuman.
Pendek kata mereka bagai berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan!!!
Suasana begitu meriah bagai pesta. Ada penduduk kampung yang mengambil kesempatan berniaga makanan atau minuman, juga barang permainan untuk kanak-kanak.
SERONOKNYA beramai-ramai menonton wayang pacak Jabatan Penerangan sambil duduk bersila di atas padang. - Kredit foto zukidin.com
Sebenarnya ada dua matlamat utama tayangan wayang pacak oleh Jabatan Penerangan.
Pertama, sesuai dengan fungsi jabatan sebagai saluran informasi kepada rakyat, kedatangan ke kampung adalah untuk menyampaikan maklumat-maklumat terkini dalam negara atau antarabangsa yang ada kaitan dengan Malaysia.
Ini adalah saluran terbaik kerana ia dibuat secara bersemuka dengan kumpulan sasaran memandangkan ketika itu saluran informasi lain masih terhad.
Kedua, untuk memberi hiburan kepada penduduk kampung melalui tayangan filem cereka dan dokumentari. Kebanyakan filem yang ditayangkan ialah keluaran Filem Negara Malaysia (FNM) dan dalam hitam putih.
Biasanya antara empat hingga lima filem ditayangkan, bergantung kepada jangka masa tayangan sesebuah filem. Tayangan ini pula berselang seli antara filem cereka dengan dokumentari.
Sesuai dengan matlamat menghibur dan memberi maklumat, selepas tayangan satu atau dua filem, tayangan akan berhenti rehat.
Pada waktu inilah ruang digunakan oleh pihak Jabatan Penerangan untuk menerangkan maksud kedatangan mereka dan menyalurkan apa-apa maklumat yang ingin disampaikan.
Maklumat ini merangkumi pelbagai isu seperti ehwal semasa atau kesihatan, atau isu-isu lain yang berhubung kait atau relevan kepada orang ramai.
Masa yang diambil untuk menyampaikan maklumat ini biasanya tidak terlalu lama, lebih kurang dalam setengah jam.
Jika terlalu lama boleh membosankan dan tidak meresap dalam ingatan orang ramai. Apatah lagi kebanyakan mereka lebih berminat menyaksikan tayangan filem!
PETUGAS Jabatan Penerangan menyampaikan maklumat kepada orang ramai sewaktu tayangan filem berhenti rehat. -Kredit foto: sohoque.com
Selepas habis sesi penyampaian maklumat, tayangan filem sambung semula dengan memutarkan beberapa buah filem lagi. Biasanya tayangan berakhir sebelum tengah malam.
Orang ramai
akan meninggalkan padang sekolah dengan puas hati. Mereka berkira-kira pula menanti kunjungan van Jabatan Penerangan akan
datang yang belum tahu entah bila.
Wayang pacak Jabatan Penerangan adalah nostalgia indah yang tidak dapat lagi disaksikan oleh generasi masa kini.
Hanya generasi lama yang pernah merasai dan menyaksikan sendiri wayang pacak ini akan dapat merasai betapa seronoknya suasana ketika itu.
Van Jabatan Penerangan masih tetap ada dengan fungsi-fungsi tertentu. Cuma ia tidak lagi berfungsi seperti dahulu sebagai ‘panggung wayang bergerak’.
Ia tinggal bagai kenangan mengusik jiwa. : KitaReporters
Menonton filem Hanyut arahan U-Wei secara konsep wayang pacak.