Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerangkan sesuatu mengenai fabrik Tenun Pahang Diraja kepada Puteri Diraja, Puteri Anne. - Kredit foto: Facebook Istana Negara.
BUSANA Tenun Pahang Diraja yang kebanyakannya 'lahir' di penjara hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong kini bukan sahaja sudah mampu 'terbang tinggi' dan 'terbang jauh' sehingga ke bumi London, malah turut mendapat perhatian kerabat diraja Britain.
Menurut satu hantaran dalam laman sosial rasmi Istana Negara, The Princess Royal atau Puteri Diraja Britain, Puteri Anne berkenan melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang diadakan buat julung kalinya di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Belgrave Square, London yang bertemakan 'menyulam harapan' pada Rabu 11 Mei 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Tetamu diraja Britain tertarik melihat proses menenun kain Tenun Pahang Diraja. - Kredit foto: Facebook Istana Negara.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga merupakan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam masa sama turut berkenan menerima kunjungan hormat dan menyantuni Puteri Anne ke pameran tersebut.
Selain itu baginda turut berkenan memberi penerangan mengenai pameran seni kraf tenunan itu yang menampilkan busana pilihan pakaian Raja Permaisuri Agong dan koleksi rekaan serta tenunan peribadi baginda selain hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Terdahulu, Tunku Azizah turut berkenan menerima kunjungan hormat dan menyantuni The Duchess of Gloucester, Duchess Birgitte yang melawat pameran tersebut yang turut memperagakan lebih 300 fabrik dari Muzium Pahang dan koleksi baju kurung serta samping Riau-Pahang yang dihasilkan oleh penenun yang terdiri daripada bekas banduan penjara.
Semasa kunjungan hormat itu, Puteri Anner dan Duchess Birgitte juga turut meluangkan masa menyaksikan demonstrasi kerja-kerja menghasilkan kain tenun oleh penenun Tenun Pahang Diraja.
Duchess Birgitte yang berkunjung ke Pameran Tenun Pahang Diraja tertarik dengan busana tenunan tangan yang dihasilkan oleh penghuni penjara. - Kredit foto: Facebook Istana Negara.
Pameran sempena 'London Craft Week' yang berlangsung dari 9 Mei hingga 15 Mei 2022 itu turut memaparkan sejarah Tenun Pahang Diraja dari peringkat awal sehingga penglibatan penjara itu juga turut berjaya mencuri tumpuan orang kenamaan serta rakyat Britain.
Hanya dua negara yang terpilih untuk menjayakan Pavilion Negara iaitu Malaysia dengan Tenun Pahang Diraja dan Norway bertujuan mengukuhkan festival kraf tersebut yang turut menjadi salah satu platform perkongsian perspektif global.
Pameran itu juga mampu memainkan peranan untuk menyerlahkan perhatian terhadap London sebagai hab antarabangsa yang mempertemukan pengiat kraf serta kreativiti cemerlang dari seluruh dunia.
Dalam masa sama Tunku Azizah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puteri Anne dan Duchess Birgitte atas kesudian mereka meluangkan masa melawat pameran Tenun Pahang Diraja di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom. - KitaReporters
Selain mempamerkan busana serta fabrik yang dihasilkan melalui tenunan tangan, Pameran Tenun Pahang Diraja turut memaparkan sejarah Tenun Pahang Diraja sejak awal.-Kredit foto : Facebook Istana Negara.