Alam & Sains 19 May, 2022

Terbaiklah Perhilitan Johor! Dapat atasi ancaman gajah liar! Dua gajah jantan berjaya ditangkap!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Salah seekor gajah liar yang menceroboh beberapa kampung di sekitar Bekok dan Labis berjaya ditangkap oleh Unit Gajah Perhilitan Johor.


DUA ekor gajah liar yang  menceroboh dan memusnahkan tanaman di beberapa kampung di sekitar Labis dan Bekok sejak dua minggu lalu berjaya ditangkap oleh Unit Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor pada Isnin, 16 Mei 2022 lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengemai  gangguan gajah liar di beberapa kampung di Bekok dan Labis seperti Kampung Usaha Jaya, Kampung Sungai Karas dan Kampung Sungai Gatom sejak dua minggu lalu dan terbaharu gajah-gajah tesebut turut menceroboh kawasan kebun Felda Chemplak.


Lagi


Gajah liar jantan seberat dianggarkan 1.3 tan yang berjaya ditangkap oleh Unit Gajah Perhilitan Johor di kawasan kebun berhampiran Felda Chemplak, Labis, Johor.


"Saya difahamkan terdapat tiga ekor gajah liar yang menceroboh kawasan kebun penduduk di beberapa kampung tersebut  sebelum ini dan dua daripadanya yang merupakan gajah jantan telah berjaya ditangkap di kawasan kebun penduduk berhampiran Felda Chemplak sementara seekor lagi masih belum dapat ditangkap dan masih dikesan kedudukannya.  

"Unit Gajah Perhilitan Johor yang menggerakkan operasi mencari untuk menangkap gajah-gajah berkenaaan pada Sabtu 14 Mei 2022 telah berjaya menangkap dua daripada tiga gajah tersebut pada Isnin 16 Mei 2022 lalu." katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan untuk memindahkan gajah liar yang ditangkap ke lokasi yang tidak dimaklumkan pada 18 Mei 2022.


ADUN Tenang, Haslinda Salleh (dua dari kanan) dan ADUN Bekok, Tan Chong (kanan) ketika meninjau persiapan kerja-kerja pemindahan gajah liar yag berjaya ditangkap.


Beliau yang turut disertai ADUN Tenang, Haslinda Salleh ketika melakukan tinjau tersebut berkata, gajah liar yang berjaya ditangkap itu merupakan dajah jantan masing-masing berusia antara 10 hingga 15 tahun yang dianggarkan seberat kira-kira satu tan sementara seekor lagi berusia 15 hingga 20 tahun seberat sekitar 1.3 tan dengan ukur lilit kaki 15 inci. 

Menurutnya lagi, operasi memindahkan gajah liar tersebut pada Khamis, 19 Mei 2022 dibantu oleh  dua gajah denak iaitu Abot yang berusia 29 tahun dan Rambai 39 tahun dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Lanchang, Pahang yang tiba di Felda Chemplak pada Selasa, 17 Mei 2022 lalu.

Beliau berharap dengan tertangkapnya gajah-gajah liar tersebut tiada lagi masalah gangguan gajah liar yang bukan sahaja memusnahkan tanaman penduduk malah turut boleh mengancam keselamatan penduduk di kawasan Labis dan Bekok selepas ini.  

Dalam masa sama beiiau turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Perhilitan Johor serta Pejabat Perhilitan Segamat yang memberi komitmen tinggi dalam usaha menangani gangguan gajah liar di kawasan Labis dan Bekok selama ini sehingga berjaya menangkap gajah-gajah  liar tersebut. 


Gajah denak 'Abot' dan 'Rambai'  dari Pusat Konsevasi Gajah Kuala Gandah, Lanchang, Pahang yang akan membantu kerja-kerja memindahkan gajah liar yang berjaya ditangkap. 

Sementara itu, ADUN Tenang, Haslinda Salleh yang turut serta dalam tinjauan tersebut berkata, masalah kehadiran gajah liar di kawasan Labis dan Bekok bukan perkara baharu, malah kejadian tersebut sering berlaku sejak sekian lama khususnya di sekitar Kampung Tenang berikutan kedudukan kampung tersebut yang bersempadan dengan Hutan Simpan Labis.

Menurutnya, kawasan sekitar Kampung Tenang juga turut diceroboh beberapa ekor gajah liar pada bulan April 2022 lalu, namun kerjasama penduduk kampung bersama kakitangan Pejabat Perhilitan Segamat yang menubuhkan pasukan pemantau yang berkawal di kawasan kebun penduduk pada waktu malam telah berjaya menghalau semula gajah-gajah tersebut ke dalam hutan. 

Katanya, usaha Jabatan Perhilitan dalam menangani ancaman gajah liar di kawasan Labis adalah berterusan melalui perlaksanaan beberapa operasi menangkap serta memindahkan gajah liar sebelum ini  termasuk kejayaan terbesar menangkap 12 ekor gajah liar di Kampung Tenang dan memindahkannya ke Terengganu pada November 2009.


Gajah iar yang berjaya ditangkap diikat bagi mengelakkannya terlepas sebelum dipindahkan ke lokasi yang tidak didedahkan.

"Selain itu kerajaan juga turut membina pagar elektrik sejauh 21 kilometer di sepanjang  sempadan Hutan Simpan Labis dan kawasan Kampung Tenang bagi mengatasi ancaman gajah liar, namun terdapat beberapa bahagian pagar tersebut yang gagal berfungsi dengan baik sejak beberapa tahun lalu menyebabkan pencerobohan gajah liar berlaku semula baru-baru ini selepas lebih 10 tahun tidak berlaku perkara tersebut. 

"Melalui tinjauan yang saya lakukan di Kampung Tenang baru-baru ini saya dapati kerja-kerja membaiki dan menyelanggara pagar elektrik tersebut oleh pihak kontraktor dilantik sedang giat berjalan dan diharapkan tiada lagi ancaman gajah liar yang memasuki kawasan kebun penduduk apabila kerja-kerja tersebut siap sepenuhnya dalam waktu terdekat ini," katanya. - KitaReporters


Haslinda Salleh dan Tan Chong mencuba memberi makanan kepada 'Abot" ketika meninjau persiapan kerja-kerja memindahkan gajah liar yang berjaya ditangkap di Felda Chemplak.

15
19
1
10
2
You will be interested