Alam & Sains 04 May, 2021

Berita Terkini| 12 hospital di Johor jadi hospital hibrid Covid-19! Tampung peningkatan pesakit

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this

Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang di Johor kini beroperasi sebagai Hospital Hibrid Covid-19.


SEBANYAK 12 hospital di Johor telah beroperasi sebagai Hospital Hibrid Covid-19 bagi menampung peningkatan kes Covid-19.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, hospital Hibrid Covid-19 termasuk Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang khusus bagi memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Katanya, sehingga Isnin, 3 Mei 2021, seramai 49 orang pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di enam hospital di negeri ini.

"Kapasiti penggunaan katil ICU khusus Covid-19 meningkat sebanyak 114 peratus berbanding hanya 43 katil dikhususkan untuk kes itu dan 39 daripada 49 pesakit ini memerlukan bantuan pernafasan," katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru pada Selasa, 4 Mei 2021.

Buat masa ini, Vidyananthan berkata, kerajaan negeri berdepan kekangan untuk pembukaan lebih banyak bilangan katil ICU untuk Covid-19 berikutan sumber manusia yang terhad.

Selain itu, bilangan pesakit kritikal bukan Covid-19 dilaporkan agak tinggi dan mereka turut memerlukan rawatan rapi di ICU.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, berlaku peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan warga sekolah, melibatkan guru dan pelajar sejak kebelakangan ini.

"Kebanyakan kes berpunca daripada penularan di dalam rumah ekoran aktiviti sosial keluarga dan ramai ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul.

"Kebanyakannya tidak mematuhi produser operasi standard (SOP) dan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat," ujarnya yang melahirkan kebimbangan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga seperti berkumpul di pusat hiburan, kenduri kahwin dan aktiviti riadah yang lain secara berkumpulan.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai sentiasa mengamalkan norma baharu dan perlu mematuhi SOP bagi mengurangkan risiko penularan dalam kalangan keluarga dan kenalan.

Tegas beliau beban yang ditanggung oleh Jabatan Kesihatan untuk menguruskan bilangan kes yang tinggi ini diharap berkurangan dengan kerjasama masyarakat memerangi Covid-19. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

R Vidyananthan berkata bilangan pesakit kritikal bukan Covid-19 dilaporkan tinggi dan 

memerlukan rawatan rapi di ICU.

 

0
0
1
0
0
You will be interested