Alam & Sains 20 Sep, 2020

Fenomena air pasang besar! Waspada, bersiap siaga hadapi bah

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
KEJADIAN air pasang besar yang melanda perairan negara pada bulan September 2020 ini serta nanti pada Oktober dan November merupakan suatu fenomena yang perlu diberikan perhatian oleh setiap individu penduduk terutama yang tinggal berhampiran kawasan pantai bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku. : KitaReporters


Salah satu banner yang direntang di kawasan tumpuan di Pantai Morib dalam usaha memberi ingatan kepada orang ramai supaya mengelakkan diri berada di tempat berkenaan semasa fenomena air pasang besar berlaku, - Kredit Foto: TV Selangor.  


Lagi cerita-cerita berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Di Selangor, fenomena air pasang besar yang berlaku tahun ini merupakan antara yang tertinggi iaitu 5.8 meter paras air laut dalam tempoh 20 tahun.
Dalam hal ini, para penduduk yang tinggal di kawasan sepanjang pesisir pantai perlu waspada dan berjaga-jaga selain bersiap sedia sepanjang masa bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan bah (banjir) bakal berlaku berikutan fenomena air pasang besar yang bermula pada Sabtu 19 September 2020 dengan ketinggian paras air laut antara 5.6 hingga 5.8 meter.
Sehubungan itu, pelbagai kegiatan yang melibatkan kawasan pesisir pantai di lima daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang telah dihentikan dan kawasan tesebut telah ditutup.

Menurut maklumat yang dikeluarkan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, kejadian ini mula berlaku pada Sabtu 19 September 2020 pada jam 7.16 pagi dengan ketinggian paras air laut 5.7 meter diikuti pada Ahad 20 September 2020 jam 7.53 pagi dengan ketinggian 5.6 meter.

Salah satu kawasan di Pantai Remis, Jeram menjadi bvah akibat dibanjiri air laut berikutan fenomena air pasang besar. - Kredit Foto: Unit  Pengurusan Bencana Negeri Selangor.


Bagi bulan Oktober 2020, fenomena ini akan berlaku selama tiga hari pada Sabtu, 17 Oktober 6.11 pagi dengan ketinggian paras air laut  5.7 meter, manakala Ahad,18 Oktober 2020 jam 7.50 pagi dengan ketinggian 5.8 meter dan pada Isnin, 19 Oktober 2020 jam 7.27 pagi dengan ketinggian 5.6 meter.

Fenomena air pasang besar ini akan berlaku dua hari dalam bulan November pada Sabtu 15 November 2020

jam 5.44 pagi ketinggian paras air laut  5.6 meter dan pada Ahad 16 November 2020 jam 6.25 pagi dengan ketinggian 5.6 meter.

Menurut Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, lima bilik gerakan dan 20 buah pusat pemindahan sebagai persediaan dalam menghadapi keadaan yang berlaku.
Bilik Gerakan bagi Daerah Sabak Bernam di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam talian untuk dihubungi 03-3224 7058  dibantu Angkatan Pertahanan Awam dan talian bagi urusan perhubungan 03-3224 1794.
Manakala pusat pemindahan ialah di Dewan Seri Sekinchan, Dewan Seri Bernam, Dewan Parit Baru dan Dewan Seri Nahoda, Bagan Nahoda Omar.

Poster mengenai masa dan tempat yang terlibat dengan fenomena air pasang besar di persisir pantai Selangor.


Bagi Daerah Kuala Selangor, bilik gerakan ditempatkan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dengan talian perhubungan 03-3289 7632 dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam talian telefon 03-3289 6225.
Pusat-pusat pemindahan bagi daerah ini ialah di Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang, Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Pasir Penambang, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjung, Sekolah Kebangsaan Pasangan, Sekolah Kebangsaan Asam Jawa, Balai JKKK Kampung Pasir Tuntung, Dewan Orang Ramai Jeram, Balai JKKK Kampung Sungai Sembilang, Dewan Orang Ramai Sungai Buloh dan Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa.
Daerah Klang pula, bilik gerakannya terletak di Pejabat Daerah dan Tanah Klang dan talian perhubungan 03-3371 6700.

Manakala pusat pemindahan disediakan ialah Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Sekolah Rendah Agama Batu 4, Jalan Kapar dan Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang.

Bagi Daerah Kuala Langat, bilik gerakannya beroperasi di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat dan talian perhubungannya 03-3182 2565 dengan pusat pemindahannya di Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang, Kampung Kundang.

Bilik gerakan bagi Daerah Sepang pula terletak di Pejabat Daerah dan Tanah Sepang dengan talian perhubungannya 03-8706 4613. Pusat pemindahannya ialah di Maahad Intergrasi Tahfiz Selangor.

Bandar Pelabuhan Klang banjir berikutan berlakunya air pasang besar yang menyebabkan limpahan air laut ke kawasan-kawasan rendah.
Fenomena air pasang besar berkenaan akan mengakibatkan limpahan air laut ke kawasan daratan yang rendah lalu menyebabkan banjir di tempat-tempat tertentu di sepanjang pesisir pantai negeri ini.
Berikutan keadaan ini Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari melalui siaran video Media Selangor meminta rakyat negeri ini khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran pantai diingatkan berhati-hati semasa menghadapinya.
Juga menurutnya, elakkan sebarang aktiviti di tepi pantai dan sentiasa bersedia dengan sebarang keungkinan.
Menurut lapuran Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, dua benteng di Pantai Kelanang dan Kampung Sawah di daerah Kuala Langat pecah dalam sekala kecil pada Jumaat 18 September 2020 lalu, manakala benteng pemecah ombak di kawasan pantai Pelancongan Pantai Morib runtuh. 

Bagaimana pun tidak ada keperluan untuk memindahkan penduduk di kawasan berkenaan.

Beginilah keadaan benteng pemecah ombak di Pantai Morib yang runtuh semasa berlakunya fenomena air pasang besar
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Morib yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hasnul Baharuddin meninjau kawasan benteng pemecah ombak di Pantai Morib yang runtuh dan dua benteng pecah di Kelanang serta Kampung Sawah yang kini ditutup untuk kerja-kerja pemulihan.
ADUN Permatang, Rozana Zainal Abidin pada Jumaat 18 September 2020, turut meninjau persiapan terakhir masyarakat di Bagan Pasir Penambang, Kuala Selangor bagi menghadapi fenomena air pasang besar ini.
Dalam pertemuan itu, beliau menasihatkan penduduk setempat supaya lebih berjaga-jaga dan menghindarkan diri daripada kawasan pesisir pantai hingga fenomena ini berakhir pada November 2020 depan bagi mengelakkan musibah yang mungkin berlaku.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yassin Bidin pula berkata, pihaknya dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Klang menyediakan sejumlah 30,000 bag pasir sebagai persediaan jika berlakunya benteng pecah dan sebarang kemungkinan yang berlaku.
Berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku tahun ini merupakan paras air yang tertinggi dalam tempoh dua dekad, maka orang ramai dan penduduk setempat dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan mutahir mengenainya dan mengikuti arahan serta nasihat pihak berkuasa sebagai usaha kearah menghindarkan suatu yang tidak diingini berlaku. - KitaReporters
Kerja-kerja pemulihan dilakukan oleh salah seorang petugas terhadap benteng pemecah ombak yang runtuh akibat kejadian air pasang berlaku di daerah Kuala Langat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Permatang Rozana Zainal Abidin (tengah) mendengar penerangan oleh salah seorang ahli jawatankuasa Majlis Permuafakatan Ketua kampung semasa meninjau persiapan akhir menghadapi fenomena air pasang besar di Bagan Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang juga ADUN Morib, Hasnul Baharuddin meninjau keadaan runtuhan salah satu benteng pemecah ombak di Pantai Morib, Kuala Langat.

0
0
0
0
0
You will be interested