SPAN meneruskan lagi kempen komunikasi, pendidikan dan kesedaran awamnya (CEPA) berkaitan perkhidmatan air melalui pelancaran pertandingan REKA+. Pertandingan REKA+ merupakan sebahagian daripada Kempen Bijak Air Madani. Pertandingan akan berlangsung selama empat (4) bulan bermula 1 Ogos 2025 hingga 30 November 2025. - KitaReporters

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meneruskan lagi kempen komunikasi, pendidikan dan kesedaran awamnya (CEPA) berkaitan perkhidmatan air melalui pelancaran pertandingan REKA+.
Pertandingan berbentuk penciptaan produk inovasi air ini terbuka kepada penyertaan daripada kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam, Swasta, Politeknik dan Kolej di seluruh Malaysia.
Pertandingan REKA+ merupakan sebahagian daripada Kempen Bijak Air Madani yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air), Dato’ Seri Fadillah Yusof pada 8 Mei 2025 lalu.
Pertandingan akan berlangsung selama empat (4) bulan bermula 1 Ogos 2025 hingga 30 November 2025.
Tempoh yang diberikan meliputi penyertaan, saringan, penyiapan prototaip / model projek serta penilaian oleh juri rofessional. Pengumuman pemenang dijangka dibuat pada Disember 2025.

Dalam usaha untuk menarik lebih banyak penyertaan, SPAN menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM19,000 meliputi pecahan berikut:
- Tempat Pertama : RM5,000
- Tempat Kedua : RM4,000
- Tempat Ketiga : RM3,000
- Tempat ke-4 hingga ke-10 (sagu hati) : RM1,000
Hebahan mengenai pertandingan ini telah mula dibuat pada 4 Jun 2025 lalu melalui saluran media sosial SPAN.
Galakan penyertaan turut dibuat melalui surat rasmi kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (MyPOLYCC) juga pada Jun 2025 lalu.
Setakat ini, beberapa wakil daripada IPT telah memberikan maklum balas positif dengan menunjukkan minat untuk mengambil bahagian.
SPAN menyasarkan REKA+ sebagai antara saluran untuk para pelajar menonjolkan kreativiti dan inovasi mereka dalam bidang penciptaan, dan pada masa sama membentuk perubahan sikap yang berterusan ke arah menghargai perkhidmatan air.
Borang serta syarat-syarat penyertaan boleh diperolehi daripada laman sesawang dan laman media sosial SPAN mulai 29 Julai 2025. - KitaReporters/Kenyataan Media
