Alam & Sains 22 Dec, 2022

ATM diarah gerakkan aset ketenteraan bantu mangsa banjir! Atasi masalah kekurangan aset logistik! - TPM

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri taklimat banjir di Pejabat Daerah Besut


KEMURUNGAN mangsa banjir terutama mereka yang terpaksa tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh daerah Besut, Terengganu terubat apabila pemimpin tertinggi kerajaan pusat turun padang melihat sendiri suasana kehidupan mereka di pusat berkenaan.

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sedikit sebanyak dapat mengubati mangsa terbabit apabila dapat bertemu mata sambal beramah mesra dengan pemimpin nombor dua negara. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, yang melakukan lawatan singkat untuk meninjau perkembangan mutakhir keadaan banjir di daerah itu telah diberi taklimat mengenai banjir oleh Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan di Pejabat Daerah Besut.


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kejadian banjir

Ahmad Zahid (tengah) ketika melawat kawasan banjir di Kampung Nangka,Kuala Besut


Selepas mendengar taklimat, Timbalan Perdana Menteri itu melawat PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut sambil beramah mesra dengan mangsa banjir.

Ahmad Zahid juga mengambil peluang melihat sendiri kawasan yang dilanda banjir di Kampung Nangka, Kuala Besut.

Kejadian banjir pada 18 Disember 2022 yang melanda daerah itu meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk terbabit kerana menghadapi kesukaran untuk berpindah disebabkan kekurangan kemudahan termasuk bot dan keperluan logistik lain.

Malah ada beberapa kes penduduk terpaksa bergayut di pokok sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat, selain ada yang terperangkap di rumah kerana tidak dapat berpindah.


Ahmad Zahid bertanya khabar seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut.


Susulan itu Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pertahanan (Mindef) menggerakkan aset dan anggotanya ke negeri di Pantai Timur yang dilanda banjir ketika ini.

Beliau berkata, ia bagi mengatasi isu kekurangan aset untuk kegunaan logistik termasuk membawa bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang terputus hubungan. 

“Keadaan banjir kali ini yang berlaku di negeri Pantai Timur terutama di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan disifatkan luar biasa menyebabkan berlaku isu kekurangan makanan di PPS tertentu dan kekurangan aset untuk logistik,” katanya pada sidang media di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, pada 20 Disember 2022.


Seorang penduduk sempat bersalaman dengan AHmad Zahid ketika melawat kawasan banjir di Kampung Nangka,Kuala Besut


Katanya, selain bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), beliau meminta agar ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang mempunyai aset yang boleh dimobilisasikan agar digerakkan ke kawasan ditimpa banjir kerana aset-aset itu berada di Lembah Klang manakala kawasan yang ditimpa banjir ini ialah di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Oleh kerana aset itu agak berkurangan di ketiga-tiga negeri ini maka saya minta Mindef khususnya Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk meminta Panglima ATM dan Panglima Tentera Darat menggunakan segala aset yang ada untuk dipindahkan sementara waktu untuk kegunaan di sini (di Pantai Timur),” katanya. - KitaReporters


Ahmad Zahid mengadakan sidang media di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut,Terengganu

12
8
1
16
1
You will be interested