
Kecanggihan teknologi membuatkan kita jarang berkomunikasi secara bersemuka. Alasan kita, ia mudah, jimat masa dan boleh dilakukan di mana-mana, lebih-lebih lagi masa bagi kita begitu berharga, semuanya mahu cepat dan pantas.
Kita berbual rancak dalam group WhatsApp, tapi dalam dunia nyata kita tak pernah pun saling bertanya khabar dan bertegur sapa. Kalau terserempak pun buat buat tak kenal.
Di dalam rumah pun kita menggunakan WhatsApp untuk memanggil anak-anak makan bersama, bila di meja makan masing-masing terpaku pada skrin telefon pintar dan tidak ada aktiviti komunikasi dalam keluarga.
Teknologi memudahkan kita 'berhubung', tapi dalam masa yang sama menjauhkan dan merenggangkan hubungan, mengeraskan jiwa-jiwa kita dan menjarakkan hubungan sesama manusia.

Dalam dunia yang serba pantas ni, kita makin jarang bercakap secara bersemuka atau face-to-face. Apa juga mesej yang kita nak sampaikan semua dihantar dalam bentuk teks, voice note, emoji.
Tapi adakah itu cukup untuk menyampaikan mesej, rasa, maksud, dan kasih sayang kita?
Penulis berpendapat " ramai orang sekarang rasa diri mereka begitu “connected” tapi sebenarnya “disconnected” secara emosi dan jiwa.
Dengan erti kata lain, mereka rasa mereka sudah mengenali ramai orang dan tahu latar belakang mereka, namun pada hakikatnya, teknologi sekadar satu wadah menghubung tetapi tidak punya perasaan dan keikhlasan dalam mengenal hati budi seseorang.

Mengapa interaksi secara bersemuka ini masih kita perlukan dalam kehidupan seharian kita? Mengapa pula komunikasi maya atau secara online tidak benar-benar memanusiakan manusia atau menghormati manusia yang berinteraksi dengan kita secara baik.
Komunikasi maya tidak merasa dan memahami apa yang ingin dijelaskan berbanding komunikasi bersemuka. Banyak faktor yang boleh penulis jelaskan dalam mencari kebaikan komunikasi bersemuka ini.
1. Bahasa badan & ekspresi wajah tak boleh ditiru online
Bila kita bercakap depan-depan atau bersemuka, 70% mesej kita datang dari non-verbal cues atau isyarat bukan lisan — seperti mimik muka, nada suara, gerak tubuh. Ini semua tak dapat disampaikan dengan betul melalui teks atau mesej WhatsApp dan secara online.
2. Emosi lebih senang disampaikan dan difahami melalui komunikasi bersemuka
Contohnya, bila anak murung, kawan tengah susah hati -- bila jumpa depan-depan, kita boleh ‘rasa’ perasaan mereka. Boleh peluk, boleh tengok mata (eye contact). Komunikasi online tak boleh bagi pelukan yang boleh buat orang rasa empati. Yang ada hanya emoji yang memaparkan perasaan kosong.
3. Wujudnya kepercayaan dan hubungan yang baik melalui interaksi bersemuka
Hubungan antara manusia terbina dari kepercayaan dan rasa empati serta simpati -- perasaan itu lebih cepat wujud dan meresap dalam jiwa kita bila kita berinteraksi secara fizikal. Face-to-face boleh merasakan ‘chemistry’ atau keserasian yang wujud serta, kita boleh baca perasaan orang.

4. Komunikasi bersemuka boleh elak salah faham dan kekasaran tanpa kita sedar
Teks atau emoji kadang boleh buat orang salah faham akan niat kita. Oleh kerana banyak ayat-ayat pendek dan susunan ayat yang berterabur kerana mahu semuanya cepat tulis, mesej yang nak disampaikan adakalanya disalahtafsirkan. Dalam perbualan bersemuka, kita boleh terus perjelas kalau ada kekeliruan, penjelasan kita akan buat orang yang berkomunikasi dengan kita lebih jelas dan faham maksud kita.
5. Manusia tetap perlukan sentuhan sosial
Kita ini makhluk sosial yang memerlukan orang lain untuk kita berinteraksi dan berhubung. Kajian psikologi menunjukkan manusia yang kurang komunikasi secara langsung akan rasa lebih sunyi, stres dan boleh bawa kepada masalah kesihatan mental.
6. Komunikasi bersemuka adalah latihan untuk bersifat empati dan proses mendengar yang aktif serta berkesan
Bila bercakap dengan seseorang secara berdepan, kita mesti belajar menjadi pendengar yang baik, sabar menunggu giliran untuk bercakap, dan faham reaksi orang yang sedang berkomunikasi dengan kita. Ini semua adalah kemahiran interpersonal (antara peribadi atau antara individu) yang makin pupus bila ramai lebih suka menggunakan teks dan WhatsApp berbanding berkomunikasi secara bersemuka
7. Tak semua benda sesuai dikongsi di ruang digital
Perbincangan sensitif, luahan hati, nasihat hidup -- semua ni lebih tulus dan ikhlas serta berkesan bila kita jumpa secara fizikal. Ruang digital selalunya terlalu pantas, terlalu ramai, dan terlalu “kosong”, tidak ada perasaan dan sering disalahtafsirkan.

Natijahnya, walau zaman teknologi semakin maju dan manusia bergantung pada teknologi sepenuhnya untuk memudahkan proses komunikasi dan kehidupan seharian.
Namun harus diingat kepentingan komunikasi interpersonal (antara peribadi) dan komunikasi bersemuka tidak harus terus dilupakan. Ini kerena manusia akan menjadi robot yang tiada perasaan dan sentuhan kemanusiaan jika tidak mahu mengamalkan interaksi bersemuka dan berinteraksi secara kemanusiaan.
Jangan kita lupa komunikasi bersemuka memanusiakan manusia dengan adab, budi bahasa dan cara interaksi yang lahir dari hati dan jiwa yang ikhlas. - KitaReporters
