Alam & Sains 04 Jul, 2020

12 pemain e-bola sepak bertarung! Rebut juara Liga eMFL 2020

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PERNAH bergelar juara e-Piala Malaysia 2019 dan berpengalaman beraksi dalam Piala Kejohanan Pasukan Terulung FIFA (FUT) 2019, malah kini terpilih mewakili ‘pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)’ pula!  Apakah kesemua reputasi hebat silam dan status itu meletakkan Luqman Haziq Hajiman di laluan yang begitu mudah dan selesa untuk turut menakluki Liga Bola Sepak e-Malaysia (eMFL) 2020 yang berlangsung sehingga 10 Julai 2020? : KitaReporters

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan (kiri) menyerahkan jersi e-JDT kepada Luqman Haziq Hajiman selepas majlis undian eMFL 2020 di Petaling Jaya, Selangor. - Kredit foto: MFL


Kini disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi, eMFLmy setiap pukul 8.45 malam, eMFL melibatkan pemain-pemain bola sepak elektronik (e-bola sepak) berdasarkan nama 12 pasukan Liga Super seperti JDT, Selangor, Melaka, Sabah, UiTM FC, PDRM, Pahang, Perak, Felda United, Terengganu FC, PJ City FC dan Kedah.

PERTEMBUNGAN enam daripada 12 pemain e-bola sepak handalan negara dalam eMFL 2020 yang berdasarkan 12 pasukan Liga Super. - Kredit foto: MFL


 “Ini kali pertama saya beraksi dalam saingan berformat liga tempatan Liga Super. 

"Satu cabaran yang tersendiri dan berbeza buat saya,” kata Luqman yang tidak asing lagi di arena e-bola sepak Malaysia mahupun e-sukan FIFA. 

“Saya bersyukur dan gembira mewakili pasukan terbaik Malaysia sekarang. 

"Pastilah buat para penyokong JDT, hanya persembahan terbaik perlu saya sajikan,” katanya yang mencipta sejarah kerana muncul pemain negara pertama layak ke Piala FUT 2019. 

Luqman turut teruja untuk mengharungi cabaran format liga eMFL biarpun sebelum ini sudah terbiasa dengan format peringkat kumpulan. 

Dalam liga, peluang bagi setiap pemain menjadi lebih terbuka untuk mengutip mata, ujarnya.

LUQMAN atau nama glamor e-bola sepaknya, Luqmanhzq. - Kredit foto: MFL


“Sekarang pula kita sudah menggunakan FIFA20 dan sesiapa sahaja boleh berpeluang untuk menang yang berbeza dengan judul permainan FIFA sebelum ini.

“Jadi saingannya akan lebih sengit dan kadang-kadang ada rasa kurang yakin juga. 

"Cuma dengan pengalaman saya ini, saya akan mencuba sedaya upaya untuk memastikan kejuaraan milik saya,” kata penama e-sukan Luqmanhzq ini.

MUHAMMAD Muzaffar Zuhair Mustaffa (kanan) mendukung cabaran pasukan e-Perak dalam eMFL. - Kredit foto: MFL


Seorang lagi pemain termuda dalam eMFL, Muhammad Muzaffar Zuhair Mustaffa bertekad untuk turut menjadi pencabar yang digeruni walaupun baru berusia 17 tahun yang menggunakan nama Chamack.

“Saya pernah bertarung dengan 11 pemain yang terpilih ke eMFL 2020 ini. 

"Masing-masing ada perwatakannya tetapi kali ini cabarannya berbeza dengan misi memburu mata tertinggi dalam 22 perlawanan liga.  

“Kalau boleh memanglah saya hendak menang dan ingin membuktikan bahawa umur tidak sesekali akan menjadi penghalang,” kata pemain e-bola sepak Perak ini.

Turut berentap pada edisi sulung eMFL ini ialah Ahmad Shahrin Shaharudin (PDRM), Alif Dani Noor Badarrudin (Melaka), Faaiz Zainuddin (Pahang), Iskandar Mirza Mohd. Mustafa (Selangor) dan  Muhammad Zainun (Sabah).

Lain-lain yang termasuk Muhammad Akhmal Roslan (UiTM FC), Muhammad Faid Mohd. Said (PJ City FC), Muhammad Faiz Hariry Mohammad Fadzai (Terengganu FC), Muhammad Imran Burhanudeen (Kedah) dan Mirza Mohammad Nabil Beg Mirza Mohammad Taiyab Beg (Felda United).

CHAMACK ... Mahu buktikan kejaguhan di 'padang skrin' di sebalik usianya yang muda. - Kredit foto: MFL 

0
0
0
0
1
You will be interested