Bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan ekosistem siber negara, Kerajaan Madani akan membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber di Parlimen pada hujung tahun 2025 ni. Selain itu, kerajaan akan terus memperkukuh benteng siber negara dengan melindungi infrastruktur kritikal. - KitaReporters

Bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan ekosistem siber negara, Kerajaan Madani akan membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber di Parlimen pada hujung tahun 2025 ni.
Selain itu, kerajaan akan terus memperkukuh benteng siber negara dengan melindungi infrastruktur kritikal, di samping meningkatkan kesedaran awam serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing.
"Sebaliknya perlu membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan berdaulat bagi melindungi maklumat terperingkat dan aset strategik negara," jelas beliau sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025 pada 21 Ogos 2025.
Katanya, kerajaan tekankan keperluan untuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan ditangani menerusi lensa keselamatan.
"Justeru, kita akan terus memperkukuh benteng siber negara dengan melindungi infrastruktur kritikal, meningkatkan kesedaran awam serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.
"Dari segi perundangan, Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini," jelas beliau.

Pada masa sama, tegasnya, setiap individu juga harus memainkan peranan dalam melindungi data peribadi apabila berurusan dalam talian.
"Antaranya menerusi penggunaan MyDigital ID, yang pendaftarannya kini mencatat purata 25,000 pengguna sehari hasil integrasi dengan aplikasi seperti MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV," tambah beliau.
Perdana Menteri berkata, komitmen Malaysia turut dizahirkan pada peringkat global.
"Dalam masa terdekat, kita akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam, sebagai bukti kesungguhan memperkukuh kerjasama antarabangsa menentang jenayah digital," jelas beliau.
Menurutnya, mesyuarat JKSN itu juga menegaskan kepentingan pembangunan teknologi kriptografi pascakuantum (PQC) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (National Cyber Security Agency atau NACSA), penyelidik dan industri.
"Usaha ini diyakini akan memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal, membendung jenayah siber, dan memastikan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat terus terjamin," katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media