
INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ditubuhkan pada 28 Oktober 1969 bertujuan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian, makanan, dan industri agro di Malaysia.
Sejak penubuhannya, MARDI menghasilkan lebih 586 teknologi dalam pelbagai bidang pertanian, makanan dan industri asas tani. Ia juga mengkomersialkan kira-kira 57 daripada 338 teknologi kepada 40 syarikat sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), dengan nilai perniagaan RM171.9 juta.

Setiap tahun, MARDI menghasilkan lebih 100 teknologi baharu yang merangkumi pelbagai bidang, termasuk tanaman, ternakan, teknologi makanan, dan mekanisasi pertanian .
Untuk melihat lebih lanjut teknologi-teknologi ini, Institut penyelidikan itu akan menganjurkan pameran teknologi MARDI atau ShowTech MARDI 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan ibu pejabat MARDI, pada 29 Mei 2025 sehingga 2 Jun 2025 bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata ShowTech MARDI 2025 adalah wadah terbaik masyarakat melihat teknologi-teknologi dan inovasi terkini dibangunkan MARDI sejak 50 tahun lalu.

Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani ditemu bual pengacara TV3 dalam program MHI.
Beliau berkata, program yang dianjurkan untuk kali kedua sejak 2023 itu dijangka akan menarik kehadiran 500,000 pengunjung dari seluruh negara.
“Program ini sangat menarik kerana pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 200 teknologi yang sedia dikomersialkan mahupun yang dipindahkan kepada masyarakat dan industri.
“Mereka juga boleh bertemu penyelidik MARDI bagi mendapatkan maklumat, memberi input serta maklumbalas untuk penambahbaikan R&D selain penghasilan teknologi MARDI,” katanya pada temu bual program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3.

Showtech Mardi sentiasa mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat.
Dr Mohamad Zabawi berkata, aktiviti utama program dijalankan di tiga zon iaitu Zon A (Dewan A, dan sekitar Dewan MAEPS), Zon B (Laluan Pertanian Moden, Showplot Tanaman Bernilai Tinggi, Showplot Tanaman Industri dan Showplot Pertanian Pintar), dan Zon C (Laman Ternakan, Kids’ Attraction, Laman Herba, Laman Kelulut dan Laman Sayur).
“Di Zon A, ia memberi fokus kepada lapan kluster pameran iaitu Kluster Tanaman Bernilai Tinggi, Tanaman Industri, Padi & Beras, Teknologi Makanan, Pertanian Pintar, Teknologi Ternakan, Pemindahan Teknologi dan Kluster Agropelancongan.
“Aktiviti di Dewan A ialah pameran teknologi, demo teknologi, seminar teknologi dan pocket-talk, padanan perniagaan - Melibatkan syarikat-syarikat dan pemain industri untuk mengambil dan mengembangkan teknologi yang dijana MARDI.

Penghasilan jus minuman menggunakan produk kelapa dan sayur-sayuran.
“Turut disediakan Klinik Tanaman, Klinik Usahawan serta jualan pelbagai produk dan hasilan MARDI seperti biji benih, anak pokok dan bahan input pertanian di pavilion jualan berhadapan Dewan A MARDI," jelasnya.
Beliau berkata, MARDI turut menyediakan Laman Kid’s Attraction bagi kanak-kanak sempena cuti persekolahan penggal pertama.
“Antara program yang disediakan ialah Earth Hero (Safe Food Awareness), Agro EduGenius (Career Talk, CSI) dan AgroCulture (Wau Making Workshop),

Mardi menghasilkan teknologi moden menghasilkan cendol.
“Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan diadakan di Dewan C dan kawasan sekitar Kompleks Dewan Pameran di MAEPS seperti Larian ShowTech MARDI 2025 Run, pameran mesin pertanian serta kawasan Coffee Corner & Cafe’s, Jualan Agro Madani dan Food Truck Fiesta,” katanya lagi.
Sementara itu MARDI akan mengadakan jelajah di seluruh negara bagi memberi hebahan dan informasi kepada orang ramai mengenai program ShowTech MARDI 2025. ISelain itu jelajah promosi ini turut merangkumi Mahkota Parade di Melaka 24 Mei 2025. - KitaReporters