
Cuaca panas di negeri Perlis mencatatkan bacaan tertinggi semalam, Isnin, 4 Ogos 2025 apabila papan penunjuk suhu berhampiran Bulatan Kampung Felda, Changlun-Kuala Perlis, menunjukkan bacaan 40.1°C pada waktu tengah hari.
Keadaan cuaca terik itu menimbulkan kebimbangan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya dan pekerja yang terdedah kepada panas matahari dalam tempoh lama.

Tinjauan wartawan KitaReporters yang melalui kawasan itu dan bertemu dengan penduduk menyimpulkan bacaan suhu di kawasan itu memberi isyarat jelas kepada penduduk supaya lebih berwaspada.
“Saya melalui jalan ini hampir setiap hari, tetapi hari ini bacaan 40.1 darjah Celsius amat membimbangkan. Saya bawa air minuman lebih kerana bimbang rasa pening semasa menunggang motosikal,” kata seorang penduduk Hamdan Mustaffa, 34.

Poster tip kekal sihat pada musim panas.

Sementara itu Pegawai Perubatan sebuah klinik swasta di Kangar, Dr Yusri Yahya, menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti fizikal berat atau memenatkan di luar rumah, meminum air secukupnya dan menggunakan perlindungan seperti topi, payung serta pelindung matahari.
“Suhu panas melampau boleh menyebabkan strok haba dan dehidrasi, terutama kepada kanak-kanak dan warga emas,” jelasnya.
Cuaca panas dijangka berlarutan beberapa hari lagi dan penduduk diingatkan agar sentiasa peka dengan nasihat serta amaran pihak berkuasa kesihatan. - KitaReporters

Murid-murid menggunakan payung dan menutup kepala dengan beg untuk berlindung daripada terik panas matahari ketika pulang dari sekolah. - Gambar hiasan.