Alam & Sains 25 Apr, 2021

Lalashop Fresh Mart buka peluang pengusaha jadi rakan kongsi! Pelawa usahawan IKS sama berniaga

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Sambil berbelanja sambil mendapat keuntungan. Siapa tak nak kan?

Begitulah struktur pengurusan norma baharu yang diperkenalkan melalui Lalashop Fresh Mart (Pasar Segar Lalashop  atau LFM) pertama yang baru dibuka sejak 9 April 2021 lalu bertempat di Plaza Suria, Damansara Damai, Selangor.

“Apabila pelanggan membeli di LFM pada harga minimum RM180 dan ke atas mereka berhak mendapatkan kad keahlian yang menawarkan mata ganjaran, sekali gus memperoleh wang tunai kembali pada kadar 10 peratus jumlah perbelanjaan,” ujar Pengurus Projek Globeherbs Sdn Bhd, Rosland Mohd Jannes (gambar atas) ketika ditemui di kedai berkenaan pada petang Sabtu, 24 April 2021.

Menurut Rosland, mata ganjaran yang terkumpul boleh ditunaikan kembali atau digunakan untuk membeli produk seterusnya sama ada secara 'offline' atau pun 'online'.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pasar raya


Lebih istimewa lagi, sebahagian besar daripada lebih kurang 3,500 produk yang dijual melalui LFM merupakan barangan daripada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di mana keutamaan syarikat adalah untuk membantu produk tempatan.

Sehubungan itu, Globalherbs menyasarkan sejumlah 500,000 keahlian dapat dikumpulkan menjelang akhir tahun 2021 ini apabila 5 hingga 10 lagi cawangan baharu LFM bakal dibuka dalam masa terdekat.

“Globalherbs merancang pembukaan pasar keduanya di Bandar Tun Razak selepas hari raya bulan depan (Mei 2021) melibatkan modal perniagaan mencecah RM400,000,” ujar Rosland sambil memberitahu syarikat mempunyai pelan untuk menubuhkan 1,000 cawangan LFM seluruh Malaysia dalam tempoh 5 tahun.


Rosland Mohd Jannes (tengah) bersama kakitangan Lalashop di Damansara Damai.


Ekoran itu juga, Globeherbs mempelawa usahawan IKS ataupun pihak koperasi serta peniaga persendirian, yang tidak mempunyai pusat jualan, untuk bersama LFM sebagai rakan niaga dengan modal RM21,260 sebagai saham pelaburan.

“Pembukaan sebuah kedai pasar memerlukan sekurang-kurangnya 20 orang pelabur,” tambah Rosland yakin dengan pelan pembangunan syarikat.

Tambahnya. dengan berkonsepkan perkongsian untung, setiap pelabur yang menjadi rakan niaga mampu mendapatkan 30% dividen setiap bulan dengan sasaran sesebuah kedai LFM mampu menjana pendapatan daripada hasil jualan mencecah RM6,000 sehari.

Dalam pada itu, Rosland memaklumkan, LFM turut membuka peluang kepada peniaga kecil yang berhasrat meletakkan produk mereka untuk menguji pasaran melalui kaedah ‘consignment’.


Bilik simpanan sejuk ini boleh memuatkan 1.5 tan produk segar.

Dan lebih menariknya, jelas Rosland, melalui pasar segar Lalashop, pelanggan tidak perlu bimbang terhadap bekalan produk khususnya yang melibatkan barangan segar seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya memandangkan LFM memiliki bilik simpanan beku yang mampu menyimpan sehingga 1.5 tan stok pada satu-satu masa.

Sementara itu, Rosland turut memberitahu, Globeherbs juga bakal membuka sebuah pusat farmasi  seterusnya menjadikan LFM sebagai sebuah pasar raya yang terunggul yang menawarkan  kepelbagaian fungsi di bawah satu bumbung.

Untuk rekod, Globeherbs Sdn Bhd dinaungi Dato Seri Prof Diraja Siyed Abdul Rahman Siyed Osman Al-Attas selaku Pengerusi Kumpulan dengan tanggungjawab dipikul antaranya oleh pengasas LFM, Kamal Mohd Noor yang turut bertindak sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan serta Ketua Pegawai Kewangan.



Jadi, kepada pihak koperasi, peniaga mahu pun individu perseorangan yang berminat sebagai rakan kongsi boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari platform laman sosialnya di www.lalashop.biz manakala pelanggan boleh berkongsi rezeki dengan membeli terus di pasar segar LFM mahu pun pembelian secara online yang telah beroperasi sejak 3 tahun lalu.

Sejajar dengan taglinenya 'Buy, Sell, Share (Beli, Jual, Kongsi)', LFM berharap konsep yang diperkenalkan dapat membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19 peluang pekerjaan mahu pun golongan suri rumah atau pun pelajar beroleh pendapatan sambil membeli atau berniaga memandangkan semua yang terlibat ada manfaatnya. - KitaReporters


4
1
0
0
0
You will be interested