Alam & Sains 10 May, 2021

Berita Terkini| Kerajaan laksana PKP seluruh negara sekali lagi! PKP 3.0! 12 Mei - 7 Jun 2021!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke [email protected]

Share this

SUSULAN daripada pelaksanaan itu larangan rentas daerah dan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh. - Kredit Foto Freemalaysiatoday.com


KERAJAAN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sekali lagi bermula Rabu, 12 Mei hingga 7 Jun 2021 ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Susulan daripada pelaksanaan itu larangan rentas daerah dan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

"Semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta juga tidak dibenarkan.

"Selain itu, sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan. 

"Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.

"Semua aktiviti sukan dan rekreasi adalah dilarang kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya pada Isnin, 10 Mei 2021.

Keputusan itu diambil selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh beliau hari ini, Isnin, 10 Mei 2021.

Semua institusi pendidikan juga ditutup namun pengecualian diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.

"Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata bilangan individu dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing dihadkan kepada tiga orang sahaja termasuk pemandu.

"Bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

"Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Dine-in atau makan di restoran dan kedai makan adalah tidak dibenarkan. Penjualan makanan secara pandu lalu dan bungkus adalah dibenarkan," katanya.

Menurutnya, majikan diwajibkan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR/WFH) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

"BDR sektor awam ditentukan oleh garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

"Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah.

"Manakala 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah. Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

"Operasi Rumah Ibadat Bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi Rumah Ibadah Bukan Islam ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan.

"Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula akan diteruskan," katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun 2021 ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei 2021 lalu.

Tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

“Sepanjang tempoh ini, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi. SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini akan diumumkan oleh MKN," katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Muhyiddin berkata, berdasarkan trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih tegas  . 

1
4
0
0
7
You will be interested