Alam & Sains 10 Jun, 2021

Sekatan PKP: Rozita Hatta enggan serah kalah! Dari jurutera petroleum ke pengusaha cendawan!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Rozita Mohd Hatta mengasingkan bongkah cendawan sebelum proses menyuntik benih boleh dilakukan.


MENGAKUI tidak mudah untuk membiasakan diri menjalani rutin harian yang jauh berbeza berbanding sebelumnya, namun itu bukan dijadikan alasan untuk tidak terus mengorak langkah dalam bidang baharu yang diceburinya sebagai seorang pengusaha cendawan.  

Rozita Mohd. Hatta, 40, generasi kedua Felda Tenang, Labis berkata akibat kejatuhan harga pasaran minyak dunia pada tahun 2015, dia kehilangan kerja sebagai jurutera prosesan petroleum ketika itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan cendawan

Rozita memeriksa bongkah cendawan yang sudah disuntik benih bagi memastikan bongkah tersebut tidak dijangkti kulat perosak.


"Saya tidak panik semasa dimaklumkan termasuk dalam kalangan kakitangan yang diberhentikan berikutan keputusan syarikat petroleum tempat saya bertugas hampir 10 tahun yang beroperasi di Singapura untuk mengecilkan operasi mereka.

“Sebaliknya saya bertindak mencari peluang baharu dan mendapati perusahaan cendawan tiram mempunyai potensi besar untuk dijadikan kerjaya baharu,” katanya yang kini sudah enam tahun menjadi usahawan cendawan.

Menurutnya, dia nekad untuk melaburkan kira-kira RM15,000 wang simpanannya untuk memulakan projek cendawan tiram dan cendawan kukur di tanah terbiar seluas 0.2 hektar yang terletak di hadapan rumah bapanya di Felda Tenang.

Pada peringkat awal, dia melakukan sendiri dengan kebanyakan kerja seperti mendirikan bangsal khas untuk menyimpan bongkah cendawan dengan dibantu oleh ayah serta adik-adiknya bagi menjimatkan kos.


Rozita melakukan sendiri kerja-kerja mendirikan bangsal untuk menempatkan bangkah cendawan bagi menjimatkan kos.


Selain itu, untuk mendalami ilmu penanaman cendawan dia sanggup berguru di Filipina serta mempelajari teknik terkini daripada rakan-rakan di Thailand dan India.

Katanya, bermula dengan hanya 200 bongkah ketika memulakan usaha tersebut, kini dia yang dibantu oleh dua adiknya serta beberapa lagi pekerja mempunyai lebih kurang 1,000 bongkah ketika ini. 

"Saya kini tidak sekadar menumpukan kepada usaha mengeluarkan pelbagai jenis cendawan tiram sahaja. sebaliknya mengembangkan kepada usaha menghasilkan cendawan kukur yang agak kurang diusahakan oleh pengusaha cendawan di negara ini.

“Permintaan terhadap cendawan kukur ketika ini begitu tinggi dan memberi pulangan yang lebih baik walaupun proses menghasilkannya lebih rumit berbanding cendawan tiram," katanya.


Bangsal tempat menyimpan bongkah cendawan perlu sentiasa bersih bagi memastikan penghasilan yang maksimum.


Menurutnyanya, proses menghasilkan cendawan bermula dengan membuat  bongkah daripada habuk kayu getah yang diisi di dalam beg plastik. Bongkah tersebut seterusnya perlu dikukus selama tujuh jam sebelum disejukkan dan diperam untuk tempoh tertentu sebelum boleh disuntik benih cendawan.

Bongkah yang siap disuntik benih cendawan perlu dipindahkan ke bangsal khas sebagai proses terakhir sebelum mengeluarkan hasil.

Menurutnya, selain cendawan kukur, dia turut mengeluarkan cendawan tiram putih, tiram kelabu, tiram kuning, tiram merah, abalon dan Ling Zhi yang dipasarkan sendiri kepada pengusaha makanan di beberapa daerah di Johor.


Cendawan tiram bewarna kuling yang dihasilkan oleh Rozita.


"Bagi tujuan mengembangkan usaha ini, saya telah mewujudkan mini makmal bagi tujuan memudahkan kerja-kerja penyelidikan serta usaha menghasilkan beberapa benih cendawan lain.

“Situasi terkini negara yang sedang dilanda pendemik Covid-19 serta perintah kawalan pergerakan yang sedang dilaksanakan ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada usaha saya ini, namun ia tidak melemahkan semangat saya untuk berusaha lebih gigih,” katanya. - KitaReporters


Rozita menyusun bongkah cendawan yang telah disuntik benih di bangsal khas.

 

 

 

7
0
0
0
0
You will be interested