Alam & Sains 16 Mar, 2020

COVID-19: TUTUP MASJID PAKISTAN, JEMAAH AKUR

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this
APA nak dikata, kita jemaah terpaksa ikut dan akur dengan arahan pihak berkuasa demi menjaga keselamatan dan  kesejahteraan orang ramai, kata Abdul Latif Beladar, 50, ketika merujuk tindakan pihak terbabit mengarahkan Masjid Pakistan, Bandar Jertih di Terengganu ditutup untuk sebarang aktiviti selama 14 hari  bermula Ahad, 15 Mac 2020. : KitaReporters

Masjid Pakistan di Jertih, Terengganu diarah tutup bagi mengelak penularan COVID-19


Abdul Latif yang menjadi jemaah tetap masjid itu mengetahui pihak berkuasa menampalkan notis berwarna kuning di dinding bahagian luar masjid petang Ahad, 15 Mac 2020 yang memaklumkan arahan penutupan sementara masjid itu sebagai langkah pencegahan COVID-19 akibat kes terbaharu kebanyakannya terdiri daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor.

Abdul Latif Beladar, ahli jemaah Masjid Pakistan Jertih sejak berpuluh-puluh tahun.


Masjid Pakistan Jertih berusia lebih 50 tahun sebelum ini menjadi tumpuan warga Pakistan tempatan yang menjadikan masjid itu untuk pelbagai aktiviti keagamaan selain turut didatangi ahli tabligh dari dalam dan luar negara.

Masjid itu pada asalnya dibina oleh pendatang rakyat Pakistan kemudian menetap di Bandar Jertih dan dianggap unik kerana ia satu-satunya masjid Pakistan yang ada di Terengganu.

Notis yang ditampalkan di dinding Masjid Pakistan Jertih oleh Pejabat Kesihatan Daerah Besut


Arahan penutupan masjid yang terletak di pinggir Bandar Jertih itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Besut dan memasang tali rintangan bagi mengelak orang ramai memasuki masjid.

Tular dalam media sosial mengenai arahan penutupan Masjid Pakistan Jertih oleh Pejabat Kesihatan Daerah Besut.


Bagaimanapun, masjid itu bukanlah dijadikan tempat solat Jumaat dan ia hanya untuk keperluan solat berjemaah mengikut waktu.

Berikutan arahan penutupan masjid itu, tular dalam media sosial menyebabkan ia menerima pelbagai reaksi netizan terhadap langkah penutupan masjid berkenaan.

Antara jemaah Masjid Pakistan Jertih berada di luar masjid ketika kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Besut menampal notis.


Abdul Latif berkata, masjid itu kerap menerima kunjungan ahli tabligh terutama dari Pakistan, India, Bangladesh, Singapura dan Indonesia.

“Sebagai jemaah tetap masjid itu sejak berpuluh-puluh tahun lalu inilah kali pertama aktiviti di masjid itu terhenti sementara disebabkan ingin mengelak daripada penularan COVID-19 yang melanda dunia sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, setakat ini tiada arahan dikeluarkan untuk membatalkan solat Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri ini berikutan keadaan wabak itu masih terkawal.

“Jabatan sentiasa memantau keadaan semasa dan akan mengumumkan jika terdapat sebarang perubahan berlaku," katanya. - KitaReporters

Pesuruhjaya JHEAT Mat Azmi Arshad. - Kredit foto: Sinar Harian

3
2
2
0
0
You will be interested