Tanpa mengira tempat Ayie akan membuat live streaming (penstriman langsung) melalui aplikasi Mico untuk berhubung dengan pengguna aplikasi tersebut yang terdapat di seluruh dunia.
HAMPIR dua tahun hilang dari radar industri muzik tanah air sejak negara dilanda pendemik Covid-19, pelontar lagu popular kumpulan rock Leon “ Balasan Janji Palsu Mu”, Ayie tidak pernah meninggalkan bidang nyanyian, sebaliknya dia telah menemukan “cinta” baharu bersama Mico.
Mengenali Mico melalui seorang rakan kira-kira setahun setengah yang lalu, dia mengakui pada mulanya pemilik nama Nazrimi Md. Ali itu tidak begitu serius dan hanya meluangkan masa “bersama” Mico pada waktu terluang sahaja, namun lama kelamaan dia mula jatuh “cinta” dan menghabiskan masa lebih kerap untuk bersamanya setiap hari sepanjang tempoh perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak awal tahun lalu (2020).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penstriman
Ayie dibantu oleh pemain drum kumpulan Leon, Chong membuat persiapan untuk membuat live streaming di aplikasi Mico.
Namun jangan salah faham, Mico yang muncul dalam hidup Ayie bukanlah seorang wanita atau kekasih baharunya, sebaliknya Mico merupakan aplikasi media sosial yang membolehkan penggunanya berhubung secara ‘live streaming’ (penstriman langsung) dengan lebih 50 juta pengguna aplikasi tersebut di seluruh dunia.
“Melalui aplikasi ini, saya bukan sahaja berpeluang mencari rakan baharu dari seluruh dunia, malah lebih menarik aplikasi ini turut memberi ruang yang cukup luas kepada saya untuk melebarkan sayap dalam bidang seni suara dengan cara menonjolkan bakat kepada khalayak yang lebih ramai tanpa ada batas sempadan.
“Mico juga memberi ruang dan peluang untuk saya menjana pendapatan yang agak lumayan dan ia begitu membantu terutama ketika industri muzik tanah air yang semakin suram ekoran tiada sebarang aktiviti secara fizikal dibenarkan dalam tempoh yang agak lama akibat penularan pendemik Covid-19 ini,” katanya yang dalam proses menerbitkan album solo ketika ini.
Ayie (tengah) bersama Wan Scoin (kiri) dan Chong (kanan) membuat persiapan untuk membuat live streaming di Labis, Johor.
Berbicara mengenai aktiviti seninya, Ayie ketika ini sedang dalam proses menyiapkan album penuh secara solo yang dijangka akan dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan (2022) memandangkan situasi semasa ketika ini bukan waktu sesuai untuk melancarkan buah tanggan untuk peminat-peminatnya itu.
Penerbitan album yang masih mengekalkan genre rock itu memakan masa yang agak lama kerana dia mahu menyediakan material terbaik untuk dimuatkan dalam album yang masih belum diberikan judul itu sebagai hadiah kepada peminat-peminatnya selepas agak lama menyepikan diri.
Katanya, walaupun dia bergerak secara solo dalam proses penerbitan album tersebut, ini tidak bermakna kumpulan Leon sudah berpecah sebaliknya tindakannya untuk menerbitkan album solo itu direstui semua ahli kumpulan Leon yang lain memandangkan anggota lain ketika ini mempunyai komitmen masing-masing, sekali gus mengambil keputusan untuk perlahankan aktiviti mereka dalam bidang muzik.
Biar pun hanya membuat persembahan secara dalam talian, Ayie tetap memberikan persembahan yang bertenaga.
“Leon masih wujud dan hubungan kami masih rapat seperti sedia kala, hanya situasi terkini industri muzik tanah air yang tidak begitu ‘meriah’ ketika ini membuatkan aktiviti berkumpulan kami agak perlahan lebih-lebih lagi tiada sebarang undangan untuk muncul di mana-mana persembahan ketika ini.
“Saya sedar risiko menerbitkan album penuh dalam situasi industri muzik yang bergerak perlahan ketika ini, lebih-lebih lagi menggunakan perbelanjaan sendiri. Namun demi peminat saya tidak boleh berkira dan tidak terlalu berharap pemasaran secara fizikal sebaliknya akan lebih menumpukan promosi secara maya nanti,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu.
Pada masa sama, dia yakin Mico mampu menjadi platform terbaik dalam usaha mempromosi album baharunya nanti dan dia bercadang untuk memperuntukkan lebih masa untuk membuat secara live streaming dalam aplikasi Mico bagi mempromosi album itu nanti berbanding kira-kira satu jam setiap hari ketika ini.
Santai dan bertenaga... Itulah ungkapan yang sesuai untuk mengambarkan persembahan secara dalam talian oleh Ayie.
Menurutnya, setakat ini tiga buah lagu sudah siap dirakam sepenuhnya dan kebanyakan lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut adalah ciptaannya sendiri di samping beberapa lagu lagi hasil ciptaan komposer baharu dalam industri muzik tanah air.
“Memang terdapat kelainan dari aspek susunan muzik dan penyampaian dalam album ini mengikut kesuaian dan peredaran muzik ketika ini, namun ia tidak mengorbankan identiti rock yang sudah sebati dalam jiwa saya selama ini.
“Terus terang saya katakan sebenarnya saya merasa ‘didera’ untuk menyampaikan lagu-lagu yang sudah siap dirakam pada kali ini berbanding rakaman sebelum ini dan berharap album ini menjadi buah tangan terbaik saya untuk peminat yang setia menyokong kerjaya saya selama ini,” katanya yang turut ditawarkan untuk berlakon drama televisyen baru-baru ini. - KitaRepoters
Vokal mantap Ayie tidak mengecewakan peminatnya yang mengikuti persembahannya secara dalam talian.