Alam & Sains 10 Jul, 2023

SeDia Cohort Study KKM, IMU! Kajian kohot berskala besar mengenai diabetes! Yang pertama di Malaysia!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Dr. Zaliha Mustafa


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan International Medical University (IMU), Kuala Lumpur baru-baru ini melancarkan kajian kohot berskala besar mengenai diabetes yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

Kajian yang dinamakan sebagai “SeDia Cohort Study” dilancarkan secara rasmi oleh Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir. 

Majlis pelancaran yang diadakan di Seremban turut dihadiri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan dan Prof. Dr. Abdul Aziz Baba, Naib Canselor dan Ketua Pengawai Eksekutif IMU.

Memorandum persefahaman antara KKM dan IMU bagi penubuhan Kajian Kohot Diabetes telah ditandatangani pada 17 Mei 2022 manakala protokol kajian telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM pada 17 Mac 2023. 

Ia bertujuan untuk mengkaji secara komprehensif kesemua faktor terlibat dalam kejadian penyakit diabetes serta komplikasi yang dialami pesakit. 



Dianggarkan 3.9 juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes. 

Kadar penyakit diabetes di Malaysia adalah yang tertinggi di rantau Asia Pasifik dan antara yang tertinggi di dunia. 

Kadar prevalens diabetes menunjukkan arah aliran peningkatan yang ketara dari 11.2% dalam tahun 2011 kepada 18.3% dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019. 

Menjelang tahun 2025, diunjurkan seramai 7 juta rakyat dewasa Malaysia akan menghidapi diabetes yang akan membebankan sistem kesihatan negara. 

Kos merawat pesakit diabetes sahaja tidak termasuk kos merawat komplikasi diabetes dianggarkan sekitar RM3 bilion setahun.

Kajian 12 tahun ini merupakan langkah pertama yang penting bagi mengumpul data yang relevan dengan sosiobudaya masyarakat tempatan. 

Ia melibatkan penyertaan lebih 5,000 pesakit diabetes yang berdaftar dengan Daftar Diabetes Klinik Kesihatan Seremban dan lebih 7,000 ahli keluarga mereka bagi mengkaji interaksi kompleks pelbagai faktor yang mempengaruhi kejadian diabetes dan komplikasinya. 

Tempoh masa yang lama diperlukan kerana kejadian diabetes dan komplikasinya juga mengambil masa yang lama.

Kajian SeDia Cohort akan mengkaji secara komprehensif semua faktor berkaitan, daripada faktor genetik dan sejarah diabetes dalam keluarga kepada faktor gaya hidup dan persekitaran, pemakanan, aktiviti fizikal, sosioekonomi, dan penyampaian kesihatan. 

Dengan memahami interaksi kompleks pelbagai faktor ini, diharap akan menemukan kaedah terbaik mencegah dan memulihkan pesakit diabetes dan dari situ dapat membangunkan dasar dan program kesihatan bagi menangani beban penyakit ini yang berasaskan bukti saintifik dan relevan dengan masyarakat tempatan. 

Ia bagi menjamin keberkesanan program perawatan dan pencegahan yang dibangunkan untuk mengekang arah aliran peningkatan beban diabetes di Malaysia.


Dr. Abdul Aziz Baba


Negeri Sembilan mencatat kadar prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa (lebih 18 tahun) tertinggi di Malaysia dengan kadar 33.2%. 

Sehubungan dengan itu, Klinik Kesihatan Seremban Jalan Rasah dipilih sebagai Pusat Pengambilan (Recruitment Centre) peserta kajian manakala Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI) IMU bertindak sebagai Pusat Koordinasi kajian dan fasiliti penyimpanan spesimen biologi kajian.

Pesakit diabetes yang berdaftar dengan Daftar Diabetes Klinik Kesihatan Seremban akan dijemput menyertai kajian bersama ahli keluarga mereka yang dewasa. Penyertaan mereka adalah secara sukarela. 

Dengan menggunakan sistem dan pengkalan data digital, maklumat peribadi dan perubatan melalui soal selidik yang komprehensif akan dimasukkan, termasuk data sosiodemografik, antropometrik, sejarah perubatan, pemakanan, aktiviti fisikal, ujian makmal seperti profil hematologi, profil gula dalam darah, ujian fungsi ginjal, dan fungsi hati, maklumat sosioekonomi serta kesihatan psikososial. 

Sampel darah juga akan diambil untuk penjujukan genetik bagi mengkaji kecenderungan individu mengidap diabetes dan bagi pesakit diabetes, kecenderungan mengalami komplikasi dan tindak balas terhadap ubat-ubatan dan intervensi fizikal dan pemakanan.

Lebih 10,000 peserta kajian ini akan diambil dalam tempoh 3 tahun mulai Julai 2023. 

Selepas itu, setiap peserta akan dituruti dan proses pengumpulan maklumat kajian akan diulangi setiap 3 tahun sekali sehingga satu tempoh sehingga 12 tahun bagi menentukan insiden diabetes dan komplikasi baru diabetes. 

Di samping itu, maklumat kejadian kehidupan (life event) seperti kemasukan ke hospital dan kematian akan dikumpul bagi setiap peserta dan dikemas kini setiap tahun. 



Selaras dengan hasrat menjadikan SeDia Cohort sebagai kajian berkepentingan kebangsaan, SeDia Cohort akan diberi akses kepada para penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk dilakukan analisis dan kajian tambahan tertakluk kepada kelulusan MREC. 

Ini penting bagi memastikan sumber penyelidikan dan pembangunan tempatan dan antarabangsa dapat digembleng secara maksimum bagi memahami penyakit yang kompleks ini serta membangun strategi intervensi yang spesifik untuk individu dan masyarakat serta bagi mencorak bagaimana diabetes diurus di peringkat nasional di masa akan datang.

Diabetes atau kencing manis merupakan satu penyakit yang berakar-umbi dalam tingkah laku, budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia. 

Kebanyakan kajian mengenai diabetes bersifat jangka pendek dan mengkaji faktor-faktor berkepentingan secara terasing. 

Kebanyakan kajian kohot diabetes yang besar seperti ini dilakukan dalam masyarakat yang berbeza daripada masyarakat Malaysia dan hasil penemuan mungkin tidak relevan dengan masyarakat tempatan. 

Oleh itu, kajian SeDia Cohort ini akan memberi peluang kepada penyelidik memahami secara lebih mendalam peranan genetik dan persekitaran dalam kalangan masyarakat tempatan. 

Dengan demikian, ia boleh menambah baik lagi garis panduan pengurusan diabetes dan dasar kesihatan awam ke arah hasil kesihatan yang lebih baik.

Oleh kerana kajian SeDia Cohort melibatkan peserta yang besar dan untuk satu tempoh masa yang lama, ia memerlukan biaya yang besar. 

Ia akan dibiayai melalui dana awam melalui sumbangan korporat dan individu. 

Oleh kerana penyakit diabetes melibatkan semua pihak dan merupakan masalah nasional, semua pihak khususnya pihak korporat, yayasan dan dermawan dijemput bersama-sama bergabung tenaga bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan ini.  

Sehubungan dengan itu, IHH Healthcare Malaysia (IHH MY) telah tampil menjadi Penaja Platinum pertama menyokong kajian SeDia Cohort dengan sumbangam berjumlah RM2 juta. 

IHH MY sebahagian daripada IHH Healthcare Berhad yang mempunyai sejumlah 83 hospital di 10 buah negara termasuk Malaysia, Singapura, Türkiye dan India – komited untuk menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih baik, cepat, mudah, dan mampu dicapai oleh pesakit. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
11
0
13
0
You will be interested