Alam & Sains 05 Feb, 2020

SELESEMA BURUNG H5N1 JUGA 'SERANG' CHINA

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib yang dialami China. Bencana yang berlaku bagai bertali arus. Ketika wabak Koronavirus masih belum reda, negara itu dilanda satu lagi jangkitan virus berbahaya, selesema burung H5N1. : KitaReporters.com

AYAM yang sihat ini akan mendatangkan bahaya kepada manusia apabila diserang selesema burung.


Selesema burung mula dikesan awal Februari 2020 di wilayah Hunan, di sempadan selatan wilayah Hubei. Bandar raya Wuhan, tempat di mana virus koronavirus mula dikesan, terletak dalam wilayah Hubei.

Ini bermakna ketika Wuhan masih bertungkus lumus mengekang bencana penyakit 2019 Novel Koronavirus atau 2019-nCoV, wilayah jirannya pula menghadapi serangan virus selesema burung, sekali gus meletakkan kedua-dua wilayah tersebut dalam  zon bahaya.

Menurut laporan, sehingga kini jumlah kematian akibat KKoronavirus sudah melebihi 400 orang dan menjangkiti lebih 20,000 orang di seluruh dunia setelah penyakit ini menular ke beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Jika Koronavirus dianggap virus maut, selesema burung H5N1 ini lebih berbahaya daripada Koronavirus atau SARS. 

Namun sehingga Selasa, 4 Februari 2020, belum ada kematian dilaporkan dalam kalangan orang ramai akibat virus H5N1 sejak dikesan di Hunan.

ITIK juga mudah terdedah kepada serangan selesema burung.


Burung dalam konteks selesema burung secara umumnya merujuk kepada haiwan ternakan untuk dimakan seperti ayam, itik dan angsa. Haiwan ini semua adalah dalam keluarga burung. 

Memetik laporan ‘South China Morning Post’, selesema burung di Hunan dikesan bermula di sebuah ladang di dearah Shaoyang yang mempunyai 7,850 ekor ayam. 

Daripada jumlah itu, 4,500 mati akibat virus berkenaan.

Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China melaporkan, secara keseluruhan sejumlah 17,828 ekor ternakan telah dimusnahkan akibat penularan virus H5N1 dari ladang Shaoyang itu.

Serangan selesema burung ini telah meletakkan China dalam keadaan sukar kerana terpaksa menangani serangan dua virus berbahaya serentak sedangkan isu Koronavirus masih terus menghantui.

Akibatnya usaha yang sebelum ini tertumpu kepada pengekangan Koronavirus kini ditumpukan juga untuk  mengekang virus H5N1. 

Sumber tenaga perlu ditambah dan lebih banyak sumber kewangan diperlukan sedangkan banyak sudah dibelanjakan untuk menangani Koronavirus.

TIADA PILIHAN... Ayam yang diserang virus selesema burung mesti dimusnahkan.


Selesema burung pertama kali dikesan menyerang angsa di China pada 1999 dan merupakan penyakit maut kepada ternakan.

Walau pun pada dasarnya virus H5N1 menyerang burung, ia boleh berjangkit kepada manusia. Ini biasanya berlaku apabila mereka terdedah terlalu lama kepada haiwan yang dijangkiti penyakit tersebut.

Tetapi menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sukar bagi penyakit ini berjangkit daripada seorang manusia kepada seorang yang lain, walau pun kemungkinannya ada.

Kes seperti ini sangat jarang berlaku. Sehingga ini, tiada maklumat virus tersebut menular dalam kelompok masyarakat yang besar.

WILAYAH Hunan di China tempat virus selesema burung H5N1 mula dikesan.


Virus H5N1 sangat berbahaya. Ia boleh membawa maut kepada mereka yang dijangkiti dengan kadar kematian melebihi 50 peratus dalam kes-kes yang dilaporkan sejak 15 tahun lalu.

Virus ini jauh lebih berbahaya kepada manusia dibandingkan dengan SARS, di mana kadar kematian ialah 10 peratus. 

Bagi virus Koronavirus nCoV pula kadar kematian ialah dua peratus sejak ia merebak sehingga kini.

Dari 2002 hingga 2019, terdapat 861 kes H5N1 yang disahkan di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, 455 orang mati.

Sementara di China sendiri, sebanyak 53 kes jangkitan ke atas manusia dilaporkan sepanjang tempoh 16 tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 31 orang mati.

Seperti juga menularnya Koronavirus, amat dibimbangi gejala selesema burung ini juga bakal merebak ke negara-negara lain jika gagal dikekang dengan segera dan berkesan. 

Tanggung jawab berat ini terbeban di atas bahu kerajaan China. - KitaReporters.com

0
0
4
0
0
You will be interested