Alam & Sains 08 May, 2025

Sokong papar harga perkhidmatan, ubat di klinik! Tapi bukan di bawah Akta Kawalan Harga! Tak sesuai!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Wakil Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Malaysia, Tarmizi Anuwar, menyambut baik usaha kerajaan memperkenal pemaparan harga perkhidmatan dan ubat-ubatan di klinik kesihatan swasta dan farmasi komuniti. 

Langkah ini merupakan satu inisiatif penting ke arah meningkatkan ketelusan, melindungi hak dan meningkatkan pilihan pengguna. 

Namun begitu, CCC berpandangan bahawa pelaksanaan peraturan ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) adalah tidak sesuai dan boleh memberi kesan negatif kepada kualiti dan daya saing perkhidmatan kesihatan bagi jangka masa panjang. 

Dengan harga yang dipaparkan secara terbuka, pengguna boleh membandingkan kos perkhidmatan dengan lebih mudah, sekali gus meningkatkan ketelusan dan mendorong persaingan yang sihat antara penyedia perkhidmatan. 

Ini akan memaksa klinik dan farmasi untuk menawarkan harga yang lebih berpatutan tanpa mengorbankan kualiti. 

“Apabila harga dipaparkan secara terbuka, pengguna tidak lagi berada dalam keadaan tidak pasti. Mereka boleh membuat keputusan dengan lebih bijak dan mengelakkan caj tersembunyi,” ujar Tarmizi.



Namun begitu, Tarmizi menegaskan bahawa peraturan pemaparan harga atau Perintah Kawalan Harga dan Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 ini tidak sesuai diletakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723). 

Perintah ini lebih tertumpu kepada kawalan harga barangan asas dan pencatutan, dan bukan untuk mengurus struktur pasaran perkhidmatan kesihatan yang lebih kompleks.

Terdapat risiko besar jika peraturan ini terus diletakkan di bawah akta tersebut, kerana ia boleh menyebabkan kekurangan bekalan ubat, mengekang inovasi atau menurunkan mutu perkhidmatan kesihatan akibat tekanan untuk menurunkan harga.

Dalam hal ini, Tarmizi mencadangkan agar semakan semula peraturan ini dilakukan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang lebih sesuai untuk menangani isu-isu berkaitan fasiliti kesihatan swasta. 

“Mengawal harga ubat melalui perintah kawalan harga akan mematikan inovasi dan pelaburan dalam sektor kesihatan swasta serta menyebabkan kekurangan yang meluas. 

"Dalam jangka panjang, pengguna juga yang akan menerima kesan -- bukan dalam bentuk harga murah, tetapi dalam bentuk kualiti perkhidmatan yang merosot,” jelas Tarmizi.



Selain itu, mengulas lanjut semakan semula kadar yuran perundingan, Tarmizi menggesa agar kadar yuran perundingan tidak ditetapkan oleh kerajaan, sama ada dalam bentuk kadar minimum atau maksimum. Penetapan harga yuran harus ditentukan oleh pasaran, berdasarkan faktor-faktor seperti kualiti perkhidmatan, kepakaran doktor, dan lokasi. 

Ini akan mendorong sektor swasta untuk lebih berdaya saing, sekali gus memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna. 

Apabila sektor swasta berdaya saing, ia akan membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam, dengan menyediakan lebih banyak pilihan perkhidmatan dan mengurangkan masa menunggu untuk pengguna. 

CCC menyokong pendekatan kesihatan awam berasaskan pasaran yang menekankan ketelusan, pilihan pengguna, dan persaingan sihat. 

Langkah pemaparan harga adalah penting, tetapi harus dilaksanakan dalam kerangka perundangan yang tepat agar tidak menjejaskan akses, kualiti dan pelaburan dalam sektor kesihatan swasta. - KitaReporters/Kenyataan Media


18
13
0
11
0
You will be interested