Alam & Sains 26 Apr, 2022

Video| Macam drama! 6 MPV polis kejar penyeludup mercun naiki van dari Pasir Mas! Ditahan di Besut!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

MPV yang terbabit dalam drama kejar mengejar penyeludup mercun dan bunga api



SANGKAAN penduduk yang menyaksikan enam kenderaan peronda polis (MPV) mengejar sebuah van di Bandar Jertih sebagai penggambaran drama untuk slot menyambut Aidilfitri terjawab apabila kejadian tersebut adalah tindakan polis memburu penyeludup mercun dan bunga api

Kejadian yang tidak pernah berlaku di bandar itu menyaksikan MPV polis bertindak secara bersepadu dan dengan bijak apabila tiada kejadian buruk berlaku walaupun keadaan dalam bandar sibuk ketika penduduk daerah itu keluar ke bandar ketika cuti umum di Terengganu sempena Hari Keputeraan Sultan Terangganu pada 26 April 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan MPV polis

Abd Rozak Muhammad

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian tersebut pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang memandu sebuah van yang sarat dengan muatan mercun dan bunga api.

Katanya, lelaki warga tempatan berasal dari Pasir Mas, Kelantan, ditahan polis pada jam 11.15 pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan Alur Keladi dekat Jertih selepas berlaku kejadian mengejar oleh pasukan polis.

Menurutnya, enam MPV polis terbabit dalam operasi mengejar itu bermula jam 9 pagi dari Pasir Mas,dan dibantu oleh MPV dari IPD Tanah Merah serta Pasir Puteh, Kelantan dan IPD Besut, Terengganu sehingga lelaki terbabit berjaya ditahan di Kampung Alur Keladi, Jertih.

Beliau berkata, dalam kejadian itu polis turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM30,000 serta sebuah van bernilai RM90,000 yang digunakan oleh lelaki tersebut untuk menyeludup mercun dan bunga api ke negeri ini.


Abdul Rozak (tiga dari kiri) bersama pegawai polis dari IPD Besut menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas


Rampasan tersebut adalah yang pertama dan terbesar pada tahun (2022) ini menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut,Kampung Raja, Besut pada 26 April 2022.

Beliau berkata, kes dikesan selepas anggota unit kereta peronda (MPV) Pasir Mas telah terserempak dengan kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan itu kemudian mengekorinya sehingga berjaya ditahan di Besut. 

Katanya, pihak IPK Kelantan terus menghubungi IPD Tanah Merah, Pasir Puteh dan Besut untuk mengesan pergerakan pemandu van terbabit. 

"Anggota MPV kemudian mengekori kereta tersebut dengan bantuan MPV dari tiga daerah di Kelantan dan dibantu dua MPV dari IPD Besut,” katanya. - KitaReporters



Pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas oleh Polis Besut

10
13
5
11
6
You will be interested