Alam & Sains 09 May, 2021

Berita Terkini| Kluang pula diletakkan di bawah PKP 2 minggu! Mulai 11 Mei! 512 kes positif!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di Kluang, Johor bagi tempoh 14 hari mulai 11 Mei 2021 selepas daerah terbabit merekodkan 512 kes positif Covid-19 daripada 3,867 ujian saringan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 4 Mei lalu hingga 8 Mei 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM juga melaporkan terdapat empat kluster aktif di daerah itu, selain kadar positif adalah 13 peratus, manakala kadar insiden semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan.

"Selepas meneliti pembentangan, cadangan dan nasihat daripada KKM serta penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah Kluang, Johor berkuat kuasa 11 Mei hingga 24 Mei 2021.

"PKP ini menyaksikan pergerakan rentas negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan dan prosedur operasi standard (SOP) di lokaliti terbabit adalah sama seperti kawasan dikenakan arahan berkenaan sebelum ini," katanya seperti dipetik oleh Berita Harian pada Ahad, 9 Mei 2021.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengumumkan pesakit yang mempunyai janji temu doktor dan bagi mendapatkan rawatan berjadual tidak perlu mendapatkan surat kebenaran polis untuk melakukan pergerakan rentas negeri atau daerah. Pesakit terbabit hanya perlu mengemukakan kad janji temu.

"Sebelum ini, kerajaan menerima rungutan daripada orang ramai mengenai perlunya mendapat surat kebenaran polis bagi urusan mendapatkan rawatan atau janji temu di hospital atau klinik.

Katanya perkara itu menyukarkan golongan itu yang memerlukan rawatan berjadual seperti kanser dan buah pinggang.

Justeru katanya, bagi pesakit yang mempunyai janji temu doktor dan rawatan berjadual, cukup sekadar mengemukakan kad janji temu. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

1
0
0
1
0
You will be interested