Alam & Sains 02 Feb, 2020

NCOV: STARBUCKS, IKEA, TOYOTA DI CHINA TUTUP

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this
KETIKA perhatian lebih tertumpu kepada angka kematian serta jumlah yang dijangkiti akibat serangan penyakit koronavirus di China, tidak banyak diperkatakan mengenai aspek ekonomi yang turut terjejas akibat virus maut itu. : KitaReporters.com

EKSPORT minyak sawit Malaysia ke China dibimbangi terjejas akibat penularan koronavirus.


Bukan sahaja ekonomi China terjejas, bahkan ia turut menjejaskan ekonomi negara-negara luar yang mempunyai hubungan dagang dengan China ekoran penularan penyakit 2019 Novel Koronavirus atau 2019-nCoV ini.

Malah ia dibimbangi turut menjejaskan Malaysia kerana dalam kemelut koronavirus yang terus mengganas dan telah mengorbankan 250 orang dan menjangkiti 12,000 orang, ada kemungkinan China mengurangkan import minyak sawit dari negara ini.

Sekiranya ini berlaku, ia boleh menjejaskan industri minyak sawit negara kerana China adalah pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas India.

Namun bukan hanya minyak sawit yang dijangka menghadapi masalah ini. Pengeksport minyak soya juga menghadapi risiko pemotongan import.

SEPARUH daripada 4,300 cawangan Starbucks di China ditutup akibat koronavirus.


Namun yang pasti di China sendiri kesan virus ini terhadap ekonomi sudah terasa. 

Hotel-hotel mewah, khususnya di Wuhan di mana virus ini (yang juga dinamakan virus Wuhan) mula dikesan, mencatatkan kadar penginapan yang sangat rendah. Dengan penguatkuasaan kuarantin di Wuhan, keadaan menjadi lebih buruk.

Sektor perniagaan pula menyaksikan dua gergasi jenama antarabangsa, Starbucks dan Ikea  mengurangkan jumlah rangkaian yang beroperasi atau menutup terus perniagaan.

Starbucks mempunyai 4,300 cawangan di seluruh China dan merupakan pasaran terbesar syarikat berkenaan di luar Amerika.

Dalam usaha melindungi para pekerjanya di samping menyokong usaha kerajaan menangani penularan koronavirus, syarikat berkenaan menutup separuh daripada cawangan perniagannya di seluruh China.

Memetik laporan BBC News, Starbucks mengakui penutupan ini akan memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan, namun perlu dilakukan demi pekerja dan membantu mengekang jangkitan virus berkenaan.

Starbucks pada mulanya menjangkakan peningkatan unjuran keuntungan meningkat selepas mencapai prestasi kewangan membanggakan. 

Namun dengan penutupan separuh daripada rangkaiannya, unjuran tersebut mungkin tidak dapat dicapai.

Rangkaian pertama Starbucks di China dibuka pada 1999 di Beijing. 

Jualan di China menyumbangkan 10 peratus daripada keseluruhan pendapatan global syarikat itu. Kerana itulah China menjadi ‘lubuk emas’ dan penutupan rangkaian sudah pasti memberi kesan teruk kepada pendapatan syarikat.

KESEMUA 30 gedung Ikea di China ditutup kerana koronavirus.


Bukan sahaja Starbucks yang menghadapi kesan koronavirus ini. Sebuah lagi syarikat besar yang terjejas ialah Ikea, syarikat perabut terkenal Sweden.

Memetik laporan Reuters, pada Khamis, 30 Januari 2020, Ikea mengumumkan penutupan kesemua rangkaiannya di seluruh China, selepas penutupan pertama gedungnya di Wuhan.

Pengumuman ini dibuat hanya sehari selepas syarikat mengumumkan penutupan separuh daripada 30 buah cawangannya di seluruh China dan memendekkan waktu perniagaan, di samping membatalkan semua perjalanan perniagaan ke China.

Lebih 14,000 pekerja di Ikea di China diminta duduk di rumah sehingga diberitahu kelak, dengan gaji tetap dibayar.

Ikea memaklumkan akan meneliti perkembangan penularan virus dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa di kawasan di mana terdapat gedung perniagaan mereka. 

Sebarang tindakan lanjut bergantung kepada syor-syor dan nasihat pihak berkuasa.

  

Kilang-kilang pembekal syarikat Apple di China dijangka ditutup untuk jangka masa lama. 


Kesan koronavirus ini juga dirasai syarikat teknologi terkenal, Apple. 

Sementara syarikat tersebut gembira dengan angka jualan I-Phone yang melonjak, serangan virus berkenaan dijangka merencatkan unjuran keuntungan syarikat berkenaan.

Syarikat itu akan terus memantau perkembangan koronavirus sambil mengehadkan perjalanan perniagaan ke China serta memendekkan waktu perniagaan. 

Kilang-kilang pembekal juga dijangka ditutup untuk jangka masa lama.

Sebelum itu, Facebook juga merupakan syarikat besar Amerika mengingatkan para pekerjanya mengelakkan perjalanan ke China sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi mereka.

Syarikat pembuat kereta, Toyota juga menutup operasinya di China sehingga 9 Februari ini sebagai reaksi kepada penularan koronavirus.

Syarikat Jepun itu mempunyai kilang di bandar raya Tianjin di sebelah utara dan Guangdong di selatan.

Di China sendiri, syarikat-syarikat menasihatkan pekerja mereka bekerja dari rumah dalam usaha memperlahankan penyebaran virus pembunuh itu.

Para pekerja juga ditawarkan cuti lebih lama dan mengarahkan pekerja yang baru kembali dari kawasan terjejas agar jangan datang bekerja.

Kesan koronavirus kepada ekonomi dan perdagangan global ini nyata membimbangkan kerana sukar diketahui bila masalah ini akan dapat diatasi sepenuhnya.

Sehingga ini sektor penerbangan sudah pun terganggu. Pengeluaran perusahaan, perdagangan antarabangsa dan pelancongan juga terjejas. 

Jika koronavirus tidak dapat dikekang dalam masa terdekat, kesan ekonomi dijangka menjadi lebih buruk. - KitaReporters.com

Kredit Peta grafik https://www.dailymail.co.uk/

1
0
0
0
1
You will be interested