UBAT titis mata sangat sinonim dalam kehidupan kita untuk mengubati sakit mata atau masalah keradangan mata. Tetapi, rata-rata daripada kita tidak mengetahui bahawa ubat titis mata mampu membutakan mata seseorang jika pengunaan ubat ini tidak mengikut nasihat doktor. : KitaReporters

Selamatkah ubat titis mata anda?
Menurut perkongsian dari Dr Lael Salim dalam Twitter, beliau menasihatkan netizen agar berjumpa dengan doktor sebelum buta, bukannya membeli ubat titis mata sendiri.
Doktor ini mengatakan bahawa ramai orang menganggap bahawa fungsi ubat titis mata adalah sama.

Sebelum menggunakan ubat titis mata anda dinasihatkan untuk menyemak tarikh luput terlebih dahulu sebelum menitiskan ubat tersebut ke mata anda.
Produk cecair mata ini hanya bertahan selama sebulan hingga tiga bulan selepas dibuka.
Tetapi jika melebih tempoh yang ditetapkan, anda dilarang sekali menggunakannya kerana berkemungkinan dijangkiti kuman.

Ubat titis mata ada mengandungi steroid
Menurut doktor ini lagi, ubat titis mata boleh menyebabkan seseorang buta kerana sesetengah jenis ubat titis mata mengandungi steroid.
Kandungan steroid berkesan merawat banyak penyakit mata.

Kesan sampingan
Bagi ubat titisan mata yang mengandungi kombinasi steroid dan antibiotik, ia adalah tidak selamat jika tiada pengawasan doktor mata.
Kesannya, ia akan menyebabkan tekanan mata meningkat, katarak cepat berlaku dan jangkitan kuman yang teruk.


Kornea jadi kudis
Menurut doktor ini, beliau juga telah menemui beberapa kes yang pada asalnya hanya sakit mata biasa tetapi selepas menggunakan ubat titis yang mengandungi steroid tanpa pengawasan doktor ini akan menyebabkan kornea menjadi kudis bernanah.

Mitos rawat rabun
Ubat titis mata tidak boleh merawat penyakit termasuk rabun, katarak dan glaukoma dan itu hanyalah kepercayaan mitos sahaja.
Jika anda mengalami sakit mata, dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor pakar. - KitaReporters