Bagi penggemar bawang putih, setiap kali memasak bahan ini tidak pernah dilupakan. Wajib ada! Penulis juga seorang penggemar bawang putih.
Kalau masak nasi goreng, mi segera atau masakan lain, penulis akan lebihkan bawang putih. Biar kehabisan bawang merah, jangan bawang putih!
Menurut Wikipedia, bawang putih merupakan sejenis tumbuhan daripada genus bawang sama seperti bawang besar, bawang merah, bawang perai, dan kucai. Bawang putih telah ditanam dan digunakan oleh manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu dalam perubatan dan masakan.

Bawang putih bukan sekadar penyedap makanan tetapi juga sangat berkhasiat.
Dalam website Doctor On Call, menjelaskan komponen utama bawang putih amat bermanfaat untuk kesihatan adalah alisin (allicin). Ia mempunyai sifat antibakteria, antiseptik, antioksidan dan mampu merawat keradangan. Allicin boleh didapati setelah bawang putih diketuk, ditumbuk atau dipotong.
Selain allicin,
bawang putih mengandungi vitamin B dan C. Walaupun bawang putih kecil, ia mempunyai
pelbagai komponen yang berfungsi dalam merawat pelbagai penyakit.
Baiklah, itu adalah fakta mengenai kebaikan dan khasiat bawang putih. Namun apa yang penulis mahu kongsikan ialah bagaimana cara atau tip membeli bawang putih di kedai atau pasar raya. Sebenarnya ramai yang tidak tahu cara membeli bawang putih.

Penulis percaya
ramai antara kita akan memilih bawang putih yang mempunyai kulit berwarna putih
dan bersih. Ia memberi gambaran bahawa bawang putih tersebut berkualiti. Manakala
bawang putih yang berwarna agak gelap, kelabu atau ungu adalah tidak
berkualiti.
Namun sebenar anda tersilap! Ya, penulis akui selama ini penulis juga begitu. Menganggap bawang putih berkulit putih dan bersih adalah paling berkualiti.
Penjelasan dan perkongsian satu akaun TikTok (Tiptokrumah) menjelaskan cara betul untuk memilih bawang putih berkualiti, menarik perhatian. Video yang dikongsi mencapai sebanyak 1.8 juta tontonan!
Jadi, tidak dinafikan perkongsian tersebut sangat menarik walaupun hanya berkongsi tip pemilihan bawang putih.
Jangan pandang sebelah mata perkongsian seperti ini kerana ia perkara besar buat sesetengah orang. Seperti penulis, pasti selepas ini akan mencuba tip yang dikongsikannya ini.

“Bawang putih jangan
beli yang berwarna putih, salah! Cuba cara ini. Pilih yang warna ungu macam ini
(sambil menunjukkan bawang tersebut). Bawang putih ungu lebih berkhasiat dan
lebih wangi. Bau lagi kuat daripada yang putih,” jelasnya.
Perkongsian tersebut dilihat mendapat reaksi ramai netizen. Ramai mengakui mereka antara pembeli yang lebih suka memilih bawang putih yang mempunyai kulit berwarna putih. Sangkakan yang berkulit putihlah lebih berkualiti namun sebaliknya.
“Laa selama ini aku pilih yang putih-putih betul. Terkopek sikitpun aku tak ambil. Ingatkan yang ungu itu sebab dah nak busuk,” akui seorang netizen.

Manakala seorang lagi netizen menyokong dan mengakui tip diberikan itu memang betul. Menurutnya, warna ungu terhasil secara semula jadi kesan daripada keasidan tanah tempatnya ditanam.
“Itu namanya antosianin. Pewarna semula jadi tumbuhan kesan daripada faktor semasa bawang ditanam. Kebanyakannya berpunca daripada pH tanah sedikit berasid, pendedahan cahaya matahari yang lama dan suhu persekitaran sejuk.
“Banyak manfaat seperti antioksidan kuat, meningkatkan kesihatan jantung, melindungi otak, mengawal gula dalam darah dan potensi anti-kanser,” kongsinya.

Kini anda semua sudah tahu? Jadi, selepas ini pilihlah bawang putih yang berwarna ungu. Setiap kali memasak, pasti bau wangi daripada wang putih tersebar hingga satu taman perumahan. Bukan sahaja makanan menjadi lebih sedap tetapi juga berkhasiat. Selain bawang putih, akauan TikTok ini juga banyak berkongsi tip-tip lain yang sangat bermanfaat. - KitaReporters