
Keupayaan untuk saling berhubung menjadi keutamaan bila berdepan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam apatah lagi di lokasi yang infrastruktur komunikasinya terhad.
Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenal Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) sebagai satu inisiatif strategik bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam berhadapan dengan situasi bencana dan kecemasan.
Menurut kenyataan SKMM, Sistem PRIME tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya pada 16 Jun 2025.
PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron.
Sistem PRIME ini berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi, membolehkan operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara berkesan bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk di kawasan terpencil atau terjejas liputan.
"Ini bersesuaian dengan slogan PRIME iaitu “Ketersambungan Tanpa Batasan”," menurut kenyataan itu lagi.
PRIME berkeupayaan memastikan ketersambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai ketika operasi bantuan terutamanya apabila liputan komunikasi rangkaian terestrial sedia ada terganggu atau terhad.

Pelaksanaan PRIME juga akan memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan pelbagai agensi strategik dalam pengurusan bencana dan kecemasan, sekali gus meningkatkan kecekapan tindak balas dan ketahanan komunikasi negara.
Selain itu, PRIME juga turut menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak yang membolehkan perkhidmatan Internet dipamerkan dan aktiviti komuniti dilaksanakan terus di lokasi sasaran.
Inisiatif ini akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem komunikasi yang lebih inklusif dan responsif, serta menjadi pemangkin kepada transformasi digital masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
"Sebagai permulaan, tiga (3) unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat.
"Unit pertama yang dilancarkan hari ini akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia, manakala dua (2) lagi unit akan disiapkan menjelang akhir 2025 dan ditempatkan di Pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak," kata kenyataan tersebut.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. - KitaReporters/Kenyataan Media
