Mesin ATM tertinggi di dunia milik Bank Nasional Pakistan (NBP) di Pas Khunjerab, Pakistan. - Kredit foto-foto: Agensi/Kompas/Suara.com
APAKAH mungkin sebuah mesin juruwang wang automatik (ATM) dibina di tempat paling tinggi di muka bumi ini? Siapakah pelanggannya?
Seolah-olah kita berada di negeri ‘kayangan’ kerana ada urusan transaksi kewangan berlaku di sana.
Tetapi perkara itu, bukan omongan kosong sebaliknya adalah realiti kerana dua buah negara di Asia Selatan, iaitu India dan Pakistan telah membuktikannya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mesin-mesin ATM
Lokasi mesin ATM Union Bank of India (UBI) di Sikkim, India. - Foto kredit Hello Travel.
Dahulu mesin ATM Union Bank of India (UBI) dikatakan paling tinggi (di dunia) terletak di Kupup, Sikkim, India dengan ketinggian 14,300 kaki (4,358 meter).
Tetapi kini, rekod itu telah berubah apabila muncul satu lagi ATM tertinggi di dunia yang terletak di negara jiran India iaitu Pakistan.
Mesin tunai itu terletak di sempadan antara Pakistan dan China di Pas Khunjerab, Pakistan Utara (pergunungan Karakoram) pada ketinggian 4,693 meter (15,396 kaki) dan diselaputi salji ketika musim salji.
Sekali gus, ia diiktiraf oleh Guinness World Records pada 18 November 2016 sebagai tertinggi di dunia.
Mesin ATM tertinggi di dunia milik Bank Nasional Pakistan (NBP) di Pas Khunjerab, Pakistan. - Kredit foto-foto: Agensi/Kompas/Suara.com
Bangunan mesin ATM milik National Bank of Pakistan (NBP) telah didirikan pada 2016, menggunakan tenaga solar dan angin itu terletak di lokasi terpencil. Pembinaannya mengambil masa kira-kira empat bulan untuk menyiapkannya.
Pengurus cawangan NBP, Zahid Hussain dalam satu kenyataan memberitahu ATM tersebut lazimnya digunakan dalam kalangan anggota pengawal sempadan untuk mengeluarkan wang gaji mereka dan selain sebilangan kecil penduduk setempat serta individu yang melintasi sempadan menggunakan pas sempadan.
Meskipun bilangan transaksi adalah rendah, yakni sekitar AS$18,350 hingga AS$23,000 (RM85,728 hingga RM107,451) wang tunai dalam beberapa minggu tetapi ianya banyak membantu serta memberikan kemudahan kepada komuniti setempat.
Pakistan bersempadan dengan Afghanistan (2,430 km), China (523 km), India (2912 km) dan Iran (909 km). - KitaReporters
Sumber:
https://www.news18.com/news/buzz/pakistans-khunjerab-pass-is-home-to-the-highest-altitude-atm-in-the-world-know-more-6145435.html
https://www.whatshot.in/kolkata/nathu-la-pass-holds-the-record-for-the-second-highest-atm-in-the-world-c-16322