Alam & Sains 28 Feb, 2020

GO GREEN!! TANAM SEMULA POKOK DI CAMERON

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this
MASALAH iklim dan pemanasan global yang semakin kritikal kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan semua pihak. Justeru, inisiatif perlu dilakukan bagi menyelamatkan bumi khususnya memberikan kesedaran kepada generasi muda pentingnya menjaga alam sekitar daripada terus dicemari. : KitaReporters.com

PRESIDEN SASET,Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua'adzam Shah (baju Putih) mengambil peluang menanam pokok pada program Go Green With SASET di Hutan Simpan Kekal Sungai Ichat, Cameron Highlands, baru-baru ini. - Ihsan bahagian komunikasi Universiti LimkokWing 


Atas dasar itu, kira-kira 31 pelajar dan kakitangan Universiti Limkokwing dengan kerjasama NGO dan penduduk setempat mengambil inisiatif untuk ‘menampung kekurangan’ dengan menganjurkan  program "Go Green With SASET" iaitu menanam semula 1,500 pokok hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, Cameron Highlands, Pahang.

Program yang berlangsung pada 15 Februari 2020 bertujuan untuk pemuliharaan kawasan pelancongan berkenaan.

Bukan sekadar mahasiswa Universiti LimKokWing, program pemulihan berkenaan turut dimeriahkan dengan penyertaan ahli persatuan badan beruniform seperti Persatuan Puteri Islam, Pandu Puteri dan Pengakap serta pelajar dari sekolah-sekolah di sekitar Cameron Highlands dan masyarakat setempat.

Bak kata pepatah, kalau hendak melentur buluh itu biarlah dari rebungnya. Jika sudah menjadi buluh, sukar pula untuk diubah tabiatnya.

Bukan sekadar peribadi dan tutur kata berhemah, setiap perlakuan yang baik dalam kehidupan harian juga perlu disemai sejak kecil.

Ini baru betul…

Sebahagian ahli persatuan Pengakap merakam gambar bersama Presiden SASET,  Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua'adzam Shah   selepas menanam 1,500 pokok terdiri daripada empat spesis pokok hutan. 


Program pemuliharaan kawasan terosot dan alam sekitar itu merupakan ilham daripada Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Majlis Belia Malaysia-Pahang.

Lebih menariknya, Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua'adzam Shah yang juga merupakan Presiden SASET turut turun padang bersama peserta bagi menanam dan menjayakan program berkenaan.

Dalam program berkenaan, kesemua peserta berjaya menanam 1,500 pokok yang terdiri daripada empat spesis pokok hutan iaitu Merawan Siput Jantan, Menglembu, Merbau dan Damar Minyak.

MAHASISWA Universiti LimKokWing dari dalam dan luar negara teruja melihat proses penanaman pokok.


Program berkenaan juga yang pertama kali diadakan di Cameron adalah diilhamkan oleh Tengku Fahd Mua'adzam Shah dan mendapat sokongan penuh dari masyarakat setempat

Menurut baginda, kawasan Cameron Highlands penting untuk sektor pelancongan dan program berkenaan juga diadakan bagi menyelamatkan kawasan terbabit dari petani haram.

Sebelum ini, Hutan Simpan Kekak Sungai Ichat yang mempunyai keluasan 121 hektar sering diteroka secara haram dan dijadikan kebun sayur dan bunga hingga menyebabkan pencemaran pada kawasan tadahan air penduduk setempat.

Sehubungan itu, kawasan berkenaan perlu diberikan perhatian dan dijaga dengan sempurna.

Dalam program berkenaaan, SASET turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Belia Negeri Pahang bagi menjalinkan persefahaman mengenai pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar.

Hadir sama, Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail, Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Samsu Anuar Nawi.

Sementara itu, Fathmath Sadha Mohamed dari Maldives berkata, program berkenaan memberi pendedahan mengenai cara menanam pokok dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.

"Saya lihat semua pelajar sangat teruja dan terima kasih kepada JPNP yang menyediakan lubang penanaman dalam jarak tertentu dan menjadikan penanaman lebih mudah.

"Saya berharap lebih banyak program yang melibatkan pelajar Universiti Limkokwing akan diadakan pada masa akan datang," katanya.

Manakala, pelajar dari Mesir, Latifa Ashraf Hassan Mohamed Abdulhamid Nafie menyifatkan program penanaman pokok juga adalah sebahagian kaedah pembelajaran lebih menarik seperti aktiviti di luar kelas.

"Bagi saya, aktiviti seperti ini sangat menyeronokkan. Selain berpeluang untuk melawat kawasan ini, saya juga berpeluang mempelajari tentang spesies pokok dan alam sekitar," katanya. - KitaReporter.com

1
7
0
0
0
You will be interested