Alam & Sains 20 Mar, 2024

Rayuan Kecemasan IFRC untuk Mongolia! Dilancar selepas musim sejuk paling teruk dalam masa 50 tahun!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Kredit foto: Persatuan Palang Merah Mongolia


Mongolia mengalami musim sejuk yang paling teruk dalam tempoh hampir 50 tahun di bawah kesan Dzud (gelombang dingin). 

Keadaan cuaca sejuk melampau yang bermula sejak November tahun lalu (2023) telah mengakibatkan 76% daripada kawasan negara itu kini terjejas oleh Dzud Putih dan Dzud Besi. 

Keadaan ini menyebabkan kawasan rumput dilitupi salji dan ais yang tebal dan menghalang binatang ternakan daripada meragut rumput.

Sejak Februari tahun ini (2024), kadar kematian ternakan telah meningkat dan menjejaskan kira-kira 75 peratus daripada semua isi rumah penggembala. Dengan jumlah kematian binatang ternakan kini melebihi 4.7 juta ekor, ramalan rasmi meramalkan keadaan akan bertambah buruk.

Mata pencarian penggembala, yang bergantung kepada lembu, kambing, dan kuda, menghadapi ancaman yang serius. 



Menurut penilaian Pusat Operasi Kecemasan, krisis ini akan menjadi dua kali lebih teruk daripada Dzud tahun lepas (2023). 

Ia meramalkan impak yang lebih signifikan daripada Dzud pada tahun 2010 yang mengakibatkan kematian 10.3 juta binatang ternakan dan menjejaskan 28 peratus populasi Mongolia. 

Krisis ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada penggembala yang mempunyai jumlah binatang ternakan yang lebih kecil kerana kadar pemulihan ternakan mereka adalah amat rendah.

Lebih 7,000 keluarga kini kekurangan makanan yang mencukupi, dan salji yang lebat telah menimbus lebih daripada 1,000 rumah penggembala (rumah tradisional) dan kandang ternakan. 

Sehingga kini, 2,257 keluarga penggembala telah kehilangan lebih daripada 70% ternakan mereka, dengan beribu-ribu lagi memerlukan perkhidmatan kesihatan asas, bahan api dan arang batu. 


Kredit foto: Persatuan Palang Merah Mongolia


Bolormaa Nordov, Setiausaha Agung Persatuan Palang Merah Mongolia, berkata: “Sebagai salah satu aktor kemanusiaan paling aktif di negara ini, Persatuan Palang Merah Mongolia bekerja keras untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas bersama rakan kongsi dalam masa sukar ini. 

"Kami bersyukur kerana IFRC sentiasa bersama kami, menyokong usaha kemanusiaan kami selama ini. 

"Dengan Rayuan Kecemasan ini, kami berharap dapat meminimumkan impak kecemasan Dzud dan menyokong isi rumah yang terjejas dengan solusi jangka panjang untuk kehidupan dan mata pencarian mereka.”

Sejak November 2023, Persatuan Palang Merah Mongolia telah mengetuai usaha tindak balas, mengenal pasti keperluan mendesak, seperti kekurangan makanan, akses penjagaan kesihatan dan kehilangan mata pencarian. 

Di samping itu, Persatuan Palang Merah Mongolia telah memperuntukkan bekalan asas yang diedarkan seperti selimut hangat untuk ternakan, memberi manfaat kepada 5,100 keluarga penggembala yang memerlukan bantuan segera.



Olga Dzhumaeva, Ketua Delegasi Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) Asia Timur berkata: “Kami menjadi saksi kepada pelbagai perjuangan yang dihadapi banyak isi rumah penggembala daripada kehilangan ternakan berharga mereka kepada beban kesusahan kewangan, sumber terhad serta tekanan besar terhadap kesihatan mental dan fizikal mereka. 

"Namun kami juga menyaksikan harapan yang tidak berbelah bahagi dan ketabahan mereka ketika mereka melawan keadaan musim sejuk ekstrem ini dengan kekuatan yang luar biasa. 

"Kematian ternakan yang berterusan, sumber yang semakin berkurangan dan keadaan kehidupan yang semakin merosot bagi ratusan ribu orang di Mongolia pada musim sejuk ini merupakan peringatan yang nyata tentang keperluan mendesak untuk mendapatkan bantuan.”

Untuk menyokong rakyat Mongolia, Rayuan Kecemasan IFRC meminta 4.5 juta Franc Swiss (hampir RM24 juta) untuk membantu sehingga 10,000 keluarga pengembala yang terjejas oleh Dzud dengan bantuan tunai, perlindungan mata pencarian, sokongan kesihatan dan psikososial, latihan vokasional dan penglibatan komuniti. - KitaReporters/Kenyataan Media


Kredit foto: Persatuan Palang Merah Mongolia

11
16
0
15
0
You will be interested