Alam & Sains 20 Sep, 2024

Nak pelihara burung merbuk? Seperti jaga anak kecil! Kena dimandi, dibelai, makanan berzat, vitamin!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Merbuk sentiasa menjadi rebutan peminat burung kerana suaranya yang lunak.


MEMELIHARA burung merbuk seperti menjaga anak kecil kerana burung itu memerlukan penjagaan rapi, mendapat makanan yang baik, dimandikan, belaian kasih sayang selain pengambilan vitamin bagi memastikan haiwan itu jinak dan boleh mengeluarkan suara yang lunak apabila mengambil  bahagian dalam sebarang pertandingan.

Walaupun merbuk yang dipelihara diletakkan di dalam sangkar yang cantik, sebagai makhluk Allah, haiwan itu tetap ada hak supaya mendapat penjagaan rapi terutama memastikan tubuhnya sentiasa sihat dan jinak. 

Sesiapa yang memelihara burung itu tahu hal-hal berkaitan dengan kesihatan tidak boleh dipandang remeh. 


Sangkar merbuk digantung di tempat yang tinggi bagi membolehkan burung itu mengeluarkan suara yang lunak ketika pertandingan.


Seorang pemilik Merbuk, Abdul Aziz Rosli, berkata pengambilan vitamin bagi memastikan burung yang dipelihara memiliki suara yang galak dan berkicau tanpa rasa takut walaupun di hadapan sesiapa pun. Ia juga bagi mencantikkan bulu, mata, mencegah pelbagai jenis penyakit dan meningkatkan nafsu makan.

Beliau berkata, kos untuk membeli vitamin dan makanan tambahan lain memerlukan kos ratusan ringgit tapi seperti manusia, merbuk memerlukan makanan tambahan jika tidak mahu haiwan itu tidak sihat selain bulunya cantik, mengeluarkan suara yang baik terutama jika burung itu mengambil bahagian dalam pertandingan.

"Makanannya ialah padi atau beras tapi kadangkala kita memberi beberapa makanan lain seperti pasir kerana memang tabiat burung ini makan tanah atau pasir halus untuk kekuatan tubuh serta suara.

Padang Semarak di Taman Wetland, Putrajaya menjadi lokasi tetap Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk dan Terkukur Putrajaya. 

Abdul Aziz Rosli muncul juara Merbuk kategori A (suara kasar)


"Ada juga kawan-kawan yang memberi merbuk kacang hijau yang direndam dalam air supaya lembut dan mudah dimasukkan ke dalam mulut burung berkenaan sebanyak tujuh biji, sekurang-kurangnya seminggu sekali," katanya selepas muncul Juara Kategori A (burung kasar) di Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk dan Terkukur Putrajaya di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya.

Merbuknya muncul juara untuk kali ke-43 sejak mengambil bahagian empat tahun lalu. 

Bagi johan Kategori B (suara semi kasar) dan C (burung nyaring) dimenangi Chong Kok Kiang dari Johor Bahru, Sanusi Josoh pula memenangi bagi burung remaja, Imran Majuri johan burung BBB (burung muda), manakala Wan Noor Shaidy Wan Ahmad muncul juara burung tekukur. 


Pemain berehat sambil bertukar-tukar pendapat sesama mereka selepas selesai pertandingan suara burung merbuk dan tekukur.  


Abdul Aziz mengakui, penjagaan merbuk perlu rapi dan seseorang pemiliknya mesti berdisiplin kerana siang malam kena bersama haiwan itu, pegang, urut dan membelai di kepala, kepak serta badan supaya burung itu kenal pemiliknya dan tidak takut apabila diberi makan.

"Jika jarang memegang atau bersama burung itu, ia sentiasa menjadi liar dan tidak mahu mendengar kata, sama seperti manusia juga, jika kita berbuat baik dan selalu mengambil berat, mereka mudah mesra dan menganggap kita sebagai kawan.

"Sebaiknya, kita beri nama apa sahaja kepada merbuk itu, jadi apabila bersama atau bermain bersama burung itu, panggillah namanya.

"Mulanya mungkin tiada respons sebab belum biasa tapi apabila kita selalu memanggil namanya, burung itu akan tahu dan akan memberi tindak balas positif apabila pemilik memanggil namanya," katanya lagi.


Pemain sanggup berjemur di tengah panas untuk melihat sendiri bagaimana juri mengadili pertandingan suara burung merbuk dan tekukur.


Beliau juga menasihatkan sesiapa yang menceburi hobi memelihara burung merbuk memastikan kebersihan sangkar kerana ia antara perkara penting yang perlu dititikberatkan pemilik.

Selain menjaga merbuk, tugas membersihkan sarang perlu dijadikan rutin tugas, tiga hari sekali atau sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ini bagi mengelak burung itu sakit jika persekitaran tempat tinggalnya kotor.  

"Saya juga selalu memandikan burung-burung ini kerana merbuk perlu dibersihkan terutama pada bahagian tubuh dan kepak sekali pun haiwan itu ada dalam sangkar besar atau kecil. Jika hujan, kadangkala saya mandikan dengan air hujan.

"Mandi penting bagi mengurangkan stres dan menjinakkan burung ini. Ketika mandi, usap badan, sayap dan kepala sehingga betul-betul bersih dari kotoran. 

Tapi ketika mandi, elakkan air masuk ke lubang hidung kerana ia boleh menyebabkan masalah lain kepada burung itu," kata Abdul Aziz lagi.   

Selepas mandi, jemur burung itu di kawasan lapang dan ada banyak cahaya matahari kerana merbuk sukakan panas.

Dan, waktu sesuai untuk menjemur burung itu antara jam 8 hingga 10 pagi atau 2 hingga 6 petang, bergantung kepada cuaca dan cahaya matahari tetapi elak menjemur untuk tempoh yang lama jika cuaca terlalu panas. 


Chong Kok Kiang (kiri) dari Johor Bahru menang dua kategori B dan C sempena pertandingan suara burung Merbuk dan Terkukur Putrajaya.


"Jika sesiapa yang mahu memelihara merbuk sebagai hobi, pastikan anda tahu hak burung itu sebagai makhluk Allah terutama aspek pemakanan dan kebersihan.

"Beri merbuk makan pasir, itu juga salah satu cara untuk menjinakkan burung itu dan membolehkan haiwan itu mengeluarkan suara yang merdu malah memang tabiat semula jadinya memakan tanah atau pasir halus, jadi letakkan saja di atas tanah, biar dia sendiri memilih tanah atau pasir untuk dimakan," katanya. 

Ditanya usia yang sesuai untuk burung merbuk masuk pertandingan, katanya biasanya burung itu sudah bersedia bertanding apabila berusia lebih setahun tapi perlu sentiasa memberi latihan, bermain dengannya, membawa ke lapangan atau hutan supaya haiwan itu biasa dengan suasana pertandingan dan ia tidak "malu" mengeluarkan bunyi atau berlawan suara dengan burung lain.   


Wan Noor Shaidy Wan Ahmad (kiri) muncul juara Burung Tekukur


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Burung Merbuk dan Terkukur Malaysia (PSSBMTM), Mohamad Ridzwan Mohd Ali, berkata seramai 183 burung mengambil bahagian dalam pertandingan itu, 172 spesies merbuk dan hanya 11 burung tekukur. 

Kebanyakan peserta dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka.

Bagi menarik minat lebih ramai peminat burung dari seluruh negara, beliau bercadang untuk mengadakan Piala Pusingan untuk kejuaraan Merbuk bagi kategori A, B dan C. Mana-mana pemain yang menang tiga kali berturut-turut, mereka layak untuk membawa pulang piala berkenaan.  

"Jadi, setiap pemain akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan mereka menang tiga kali berturut-turut bagi membawa pulang piala pusingan berkenaan, lebih-lebih lagi jika mereka adalah pemenang pertama yang mengungguli piala terbabit, ia satu penghormatan.      


Mohamad Ridzwan Mohd Ali           


"Saya juga mahu membawa pertandingan sedia ada ke peringkat Asia Tenggara tapi besar kemungkinan ia tidak dapat diadakan tahun ini (2024) kerana Perbadanan Putrajaya memaklumkan bajet untuk tahun ini sudah habis dan perlu menunggu untuk peruntukan tahun depan.

"Pertandingan suara burung merbuk dan terkukur pada peringkat Asia Tenggara perlu diadakan bagi mempromosi apa yang kita ada kepada masyarakat luar selain menarik kehadiran ramai pelancong dari luar negara ke sini. Insya-Allah kita cuba untuk tahun depan  (2024)," katanya. - KitaReporters

14
10
0
14
0
You will be interested