Alam & Sains 10 Jul, 2022

Scammer tak pilih bulu! Semua jadi mangsa! Pesara kerajaan, warga emas hadiri taklimat MKN-PDRM!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Seorang peserta sedang bertanyakan sesuatu mengenai jenayah scammer kepada penceramah


HAMPIR saban hari ada sahaja berita mengenai rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’ yang dilaporkan berlaku, malah sejak akhir-akhir ia dilihat semakin menjadi-jadi.

Lebih parah lagi, mangsa yang terjerat itu bukan sahaja calang-calang orang dan jumlah kerugian pula bukan sedikit apabila ada yang mencecah sehingga ratusan ribu ringgit. 

Jenayah scammer juga tidak mengenal sesiapa, sebaliknya pelbagai golongan termasuk ahli politik, profesional, penjawat awam, petani, nelayan, pelajar, warga emas dan pesara kerajaan turut menjadi mangsa.


Lagi cerita-cerita jenayah berkaitan aktiviti scammer

Ilias  menunjukkan  cara menggunakan talipon pintar untuk mengetahui aktiviti scammer 


Sehubungan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandang serius terhadap aktiviti scammer ini yang sering memerangkap mangsa tanpa belas kasihan dan menyebabkan mangsa mengalami kerugian akibat ditipu sindiket berkenaan. 

Mengambil sikap tanggungjawab untuk menjaga kepentingan awam, MKN Terengganu mengambil tindakan menganjurkan program taklimat “Jenayah Scammer” yang memberi fokus kepada golongan pesara kerajaan dan warga emas di negeri itu

Sesi taklimat untuk ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Daerah Besut yang turut disertai Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih dan pemimpin komuniti setempat hadir menyertai program yang julung kali diadakan pada 2 Julai 2022. 

Program sehari yang berlangsung di Pusat Aktiviti Rukun Tetangga Bandar Jertih itu disertai 60 peserta mewakili kelompok komuniti terbabit. 


Ilias Haris ketika menerangkan aktiviti scammer kepada peserta


Penolong Pengarah MKN Terengganu, Nurul Laila Suhaimi berkata, pihaknya memberi fokus kepada golongan pesara dan warga emas kerana golongan terbabit didapati ramai menjadi mangsa kepada jenayah scammer negeri itu.

Katanya, bagi menjayakan program itu, MKN turut mengundang pegawai Polis Diraja Malaysia bagi menyampaikan ceramah mengenai aktiviti scammer.

Menurutnya, pihak MKN merancang untuk mengadakan beberapa siri taklimat kepada golongan berkenaan di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat.

“Program pertama yang dimulakan di daerah Besut itu membuahkan hasil apabila peserta menunjukkan minat mendalam terhadap ceramah yang disampaikan oleh pihak PDRM,” katanya.

Pada majlis tersebut, Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial dari Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Inspektor Ilias Haris menyampaikan ceramah dan tayangan slide mengenai aktiviti scammer. - KitaReporters


Pesara dan golongan warga emas yang menghadiri taklimat jenayah scammer anjuran MKN di Pusat Rukun Tetangga Bandar Jertih

12
14
1
17
0
You will be interested