Alam & Sains 01 Jun, 2021

Berebut-rebut nak ambil vaksin! Jangan keliru antara frontliner atau kumpulan berisiko tinggi!

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this


SEMAKIN ramai yang sedar dan nak terima vaksin Covid-19. Buktinya kesesakan terhadap proses pendaftaran vaksin AstraZeneca baru-baru ini yang ternyata di luar jangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 atau JKJAV.

Setiap kali JKJAV membuat proses pendaftaran umum untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca itu sebelum ini, ia sentiasa menjadi isu berbangkit apabila laman web yang digunakan untuk rakyat membuat pendaftaran itu dihujani dengan ratusan ribu individu yang berminat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan vaksin Covid-19


Antara punca yang mendorong kepada mereka mahu mendaftar dan mengambil vaksin Covid-19 dengan segera tanpa memikirkan jenis vaksin tersebut adalah kerana situasi semasa yang kian memaksa.

Malahan, ramai yang anggap mereka dikategorikan sebagai frontliners yang patut menerima vaksin, antaranya rakan-rakan media, pekerja-pekerja di rangkaian restoran, pekerja-pekerja yang bekerja di sektor ekonomi penting, pejabat-pejabat kerajaan, pekerja yang banyak berinteraksi secara langsung dengan orang awam contohnya para guru atau pendidik, pekerja di kaunter, pemandu teksi dan e-hailing (e-panggilan) dan sebagainya. Semua ini merasakan mereka adalah frontliners.

Kalau kita nilai semula, golongan ini tinggi kesedarannya. Mereka sedar dan insaf bahawa mereka mempunyai risiko yang sangat tinggi setiap hari ketika keluar melakukan tugas.

Termasuklah pemandu lori bagi menghantar barangan essential harian. Pekedai runcit juga menganggap mereka berisiko tinggi ketika berniaga.

Risiko tinggi yang dimaksudkan adalah ketika golongan ini berurusan dengan ramai orang, maka mereka terdedah kepada jangkitan virus maut ini dengan lebih pantas serta mudah.

Golongan ini kadang-kadang rasa risau dan takut serta paranoid dari hari ke hari kerana mereka tidak boleh bekerja dari rumah. Jika tidak keluar rumah, maka punca pendapatan mereka akan tiada pada hari berkenaan.




Ditambah pula laporan harian jangkitan Covid-19 makin memuncak dan menunjukkan trend tidak baik kepada tahap kesihatan dan keselamatan kita semua. Kalau tahun lalu kita dengar 100 kes sehari pun sudah gentar, tapi sekarang kita mencatatkan angka antara 4,000 kes sehingga menghampiri 10,000 kes sehari.

Justeru mustahillah bagi golongan ini tidak berasa sesuatu ketika mana mereka keluar rumah untuk bekerja dan membawa pulang sedikit rezeki untuk santapan anak bini.



Tapi hakikatnya kita patut sedar bahawa frontliners sebenar adalah petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) dan anggota-anggota keselamatan seperti polis, askar, RELA dan agensi-agensi lain yang berurusan langsung menggendalikan, mengawal dan menguatkuasa prosedur operasi standard (SOP) untuk Covid-19 ini.

Berdasarkan definisi ini, jelaslah golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 ketika bekerja dan bertugas dengan pelbagai jenis pelanggan atau responden terbahagi kepada dua golongan iaitu yang digelar sebagai frontliners atau petugas barisan hadapan, dan golongan yang berisiko tinggi. Yang pasti, kedua-duanya amat penting kepada sektor kesihatan dan ekonomi negara.



Di Singapura golongan berisiko tinggi memang diberi keutamaan untuk menerima vaksinasi Covid-19 ini, tetapi mereka tidak dikategorikan sebagai frontliners. Malah pemandu lori dari Malaysia yang membawa produk essential ke republik itu juga turut dimasukkan ke dalam kategori ini. Asasnya, jika mereka dijangkiti virus, mereka boleh jadi punca penularan kluster baru di negara berkenaan.

Jika kita faham dan sedar mengenai hal ini, maka kita tidak perlu mementingkan diri sendiri dan sentiasa mendesak bahawa kita adalah fronltiners, sebaliknya kita harus segera mendaftar dan mengharap giliran sampai secepat mungkin.

Pada masa sama tanggungjawab kita tidak kurang pentingnya dengan petugas frontliners tadi kerana kita boleh sama-sama cegah jangkitan wabak maut ini pada ruang lingkup kita sendiri.



Jika kita mengabaikan norma baharu dan pematuhan SOP, sambil lewa dan tidak berwaspada, kita mungkin menjadi punca jangkitan kepada anak-anak, keluarga, ibu bapa, kariah masjid, rakan sekerja, orang kampung sekitar perumahan malah menambah jumlah jangkitan baru di daerah atau negeri kita sendiri.

Peranan ini sangat besar dan mestilah diutamakan sepanjang masa. Mudah-mudahan kita semua bebas dan terhindar daripada virus maut ini dan pada masa sama mendapat berkat daripada ikhtiar dan amal baik kita iaitu mencegah jangkitan, melindungi diri, melindungi orang yang disayangi dan menghentikan pandemik yang melanda tanah air kita.

Selamat berjuang, kita mesti menang! - KitaReporters


1
1
0
0
0
You will be interested