BAGI individu yang berani dan sukakan aktiviti ekstrem mungkin Republik Czech boleh diletakkan sebagai senarai destinasi percutian berikutan jambatan gantung yang dibina di negara tersebut dikatakan paling panjang di dunia sudah mula menerima pengunjung.
Memetik laporan CNN, jambatan yang dikenali sebagai `Sky Bridge 721′ mempunyai jarak sepanjang 721 meter dan tergantung di udara pada ketinggian 95 meter di atas kawasan lembah di bawahnya.
Alamak tingginya!!
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bangunan tinggi
Pengunjung boleh mencabar keberanian diri mereka dengan berpeluang berjalan di laluan jambatan gantung yang hanya selebar 1.2 meter yang dibuka secara rasmi pada 13 Mei 2022 lalu.
Projek pembinaan jambatan itu mengambil masa selama dua tahun selain menelan belanja sebanyak AS$8.3 juta (hampir RM36.5 juta).
“Sky Bridge 721 menghubungkan dua tebing gunung yang terletak di Dolni Morava.
“Malah, jambatan untuk pejalan kaki itu menawarkan pemandangan menakjubkan pergunungan Jeseniky dan pengalaman cukup mencabar keberanian para pengunjung.
"Sky Bridge 721 juga dikelilingi pemandangan alam semula jadi gunung Kralicky Sneznik, kira-kira 200 kilometer di timur Prague. Ia menawarkan pengunjung pemandangan hebat landskap semula jadi yang tidak boleh dialami di lokasi lain,” demikian menurut laman web rasmi pengurusan jambatan tersebut.
Bagaimanapun pengurusan jambatan gantung itu berkata, jambatan yang menawarkan pemandangan yang indah dan unik itu akan ditutup sekiranya kelajuan angin mencapai 135 kilometer sejam.
Hanya yang berani dan tabah sahaja boleh menghabiskan laluan di jambatan gantung, bagi yang penakut jangan sesekali cuba bimbang menyusahkan orang lain pulak! - KitaReporters