Alam & Sains 23 Oct, 2021

Kehadiran 'orang besar' sesat bimbangkan penduduk Batu Rakit! Perhilitan bertindak tangkap gajah

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

BAZLAN Abdul Rahman (kanan) bertemu dengan penduduk semasa beliau melawat rumah mangsa yang mengalami kerosakan akibat keganasan gajah itu pada 20 Oktober 2021. - Kredit foto-foto: FB Bazlan Abdul Rahman (BAR) 


KEHADIRAN ‘orang besar’ berusia kira-kira 10 tahun yang sesat dan menggempar serta membimbangkan warga di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu telah diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri yang menangkap gajah itu pada Khamis, 21 Oktober 2021 lalu. 

Gajah betina itu yang tiba-tiba muncul bersendirian di perkampungan berkenaan pada kira-kira 6 pagi Selasa, 19 Oktober 2021 lalu telah merisaukan penduduk setempat kerana beberapa buah rumah warga telah dirosakkan oleh haiwan terbabit.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gajah

BAZLAN (tengah) sedang berbincang sesuatu dengan Loo Kean Seong (kiri) di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit pada 21 Oktober 2021. 


Berikutan dengan masalah tersebut, Perhilitan Terengganu telah berjaya menangkap haiwan seberat dua tan itu dengan menggunakan bantuan dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Sungai Deka, Hulu Terengganu untuk memindahkan gajah berkenaan ke kawasan yang lebih selamat

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman memberitahu kehadiran ‘tetamu’ yang tidak diundang itu mula disedari penduduk kampung pada pagi tersebut selepas mereka mendapati haiwan itu berada berhampiran rumah mereka.


Dua ekor gajah denak digunakan dalam operasi tersebut. - Kredit foto: FB BAR


Menurutnya, beberapa buah rumah termasuk kenderaan penduduk kampung mengalami kerosakan kecil akibat haiwan itu.

‘’Saya melaporkan kejadian itu kepada Perhilitan Negeri dan syukurlah jabatan terbabit bertindak cepat untuk menyelamatkan harta benda dan keselamatan warga di kampung itu.

‘’Operasi menangkap gajah betina itu mengambil masa selama tujuh jam dan ia bermula pada pukul 8 pagi (21 Oktober 2021),’’ katanya ketika dihubungi pada Jumaat,  22 Oktober 2021.

Pengarah Perhilitan Negeri Terengganu, Loo Kean Seong hadir sama dalam operasi tersebut yang disertai 14 anggotanya.

Gajah tersebut sebelum itu dilaporkan berada di Sungai Lerek, Setiu, Terengganu yang jaraknya kira-kira 40 kilometer dari Kampung Pengkalan Atap.

'Orang besar' itu juga dipercayai terpisah daripada kumpulan haiwan itu yang berada di sebuah hutan di daerah Setiu. - KitaReporters


Kredit foto-foto: FB Bazlan Abdul Rahman (BAR) 

11
12
0
9
0
You will be interested