Alam & Sains 16 Mar, 2021

Tahniah! Jambatan Angkat Kuala Terengganu diiktiraf WETA! Anugerah Ikon Baharu Malaysia 2020!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Jambatan Angkat Kuala Terengganu mendapat pengiktirafan dunia bagi kategori ikon baharu Malaysia 2020.


RAKYAT Terengganu bangga apabila Jambatan Angkat (Drawbridge) yang menghubungkan bandar raya Kuala Terengganu dengan Seberang Takir mendapat pengiktirafan tertinggi di persada dunia apabila meraih Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Dunia kategori Ikon Baharu Malaysia Terbaik tahun 2020 (Best Malaysian New Icon 2020)

Jambatan Angkat tersebut merupakan sebuah jambatan imbang yang terletak di Kuala Terengganu, merupakan jambatan keempat di kawasan bandar Kuala Terengganu yang menyeberangi Sungai Terengganu selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Manir dan Jambatan Pulau Sekati.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Jambatan Angkat Kuala Terengganu:

https://kitareporters.com/search?search=jambatan+angkat


Ariffin Deraman (tengah) menerima sijil pengiktirafan daripada wakil Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis (kanan). - Kredit foto: UPDI


Jambatan Angkat Kuala Terengganu merupakan sebuah projek dalam inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Jambatan imbang sulung di Malaysia itu menelan belanja RM248 juta.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut dan terpanjang di dunia itu mempunyai empat menara dengan dua jambatan udara (airbridge) yang menempatkan galeri sejarah Terengganu, dewan seminar dan restoran.

Kerja pembinaan bermula pada Ogos 2014 dan disiapkan pada pertengahan tahun 2019.  Jambatan angkat ini juga merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

Keunikan seni binanya selain dihiasi dengan lampu berwarna warni menarik perhatian pengunjung pada waktu malam dan menjadi daya tarikan baharu kepada industri pelancongan Terengganu.


Ariffin Deraman


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kejayaan meraih anugerah tersebut adalah pengiktirafan atas usaha kerajaan negeri dan sektor pelancongan.

“Terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia atau Malaysia Tourism Council (MTC) yang menyampaikan anugerah ini, walaupun sepatutnya diterima di Berlin, Jerman, namun dengan kekangan COVID-19, majlis tersebut terpaksa dibatalkan," katanya.

Majlis Penyampaian Anugerah World Excellence Tourism Awards di Puncak Gamelan, Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu pada Ahad, 14 Mac 2021.

Ariffin berkata, jumlah pengunjung ke jambatan itu sejak dibuka 1 Ogos 2019 dianggar sehingga ratusan ribu pengunjung.

Katanya, dalam masa beberapa bulan seperti pada September dan Oktober tahun 2020 lalu, lebih 200,000 pengunjung sebulan datang untuk bergambar di jambatan tersebut dan kawasan datarannya.  

“Kerajaan mempunyai perancangan baharu untuk Drawbridge dengan pembukaan restoran di atas jambatan tersebut,” katanya. 


Keindahan Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu pada waktu malam.


Pihak penganjur memaklumkan hanya Terengganu sahaja telah mendapat pengiktirafan ikon bertaraf dunia sedemikian.

Bagaimanapun, di negeri lain seperti Pahang juga mempunyai mercu tanda seperti Menara Teruntum, namun impak jambatan ikonik tersebut amat tinggi, boleh dibandingkan seperti London Bridge dan reputasinya kini seakan sama seperti Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. - KitaReporters

17
2
1
0
1
You will be interested